HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 Mei 2020

Malaysia bebas arak 5 tahun lagi – UMMAH

HARAKAHDAILY

PUTRAJAYA: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menyasarkan dalam tempoh lima tahun Malaysia bebas daripada arak.

Pendirian ini dinyatakan oleh pengerusinya Mohd Zai Mustafa semasa menyerahkan memorandum Gerakan Pembela Ummah kepada setiausaha politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Wan Mohamad Dato’ Sheikh Abdul Aziz.

Ujarnya pada peringkat permulaan UMMAH akan melancarkan kempen Malaysia sejahtera tanpa arak pada awal bulan Jun di seluruh negara.

“Kita bercadang akan melancarkan kempen ini di sini (JAKIM) bersama Menteri Agama dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain sekiranya keadaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di longgarkan,” katanya.

Sementara itu, menurut Mohd Zai, UMMAH memohon pertimbangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memainkan peranan utama memberi nasihat kepada Perdana Menteri dan Kabinet Kerajaan Perikatan Nasional agar isu arak dapat ditangani secara menyeluruh dan tegas.

“Insiden kemalangan maut disebabkan sikap tidak bertanggungjawab dan bermoral oleh pemandu mabuk hingga menyebabkan kehilangan nyawa orang lain yang tidak berdosa, semakin hari semakin meningkat.

“Sudah sampai masanya kerajaan Perikatan Nasional di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil langkah dan menyediakan ‘Exit Plan’ memberhentikan atau menutup kilang-kilang pengeluaran arak di negara ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, kata beliau, tiga aspek yang ditekankan di dalam memorandum tersebut adalah berkaitan dengan industri arak yang melibatkan penjualan dan promosi arak di pasaran terbuka.

Seterusnya kedua berkaitan dengan undang-undang dan penguatkuasaan yang melibatkan akta pengangkutan dan memohon menyegerakan pindaan undang-undang berkaitan arak dengan lebih menyeluruh.

“Perlu digubal undang-undang yang lebih tegas dan keras ke atas pemabuk yang melalukan kesalahan samada sebagai pemandu mabuk yang menyebabkan kematian, tindakan jenayah dan seumpamanya.

“Kita minta menteri agama memberi nasihat dan juga pandangan berdasarkan kepada Islam yang menyeluruh memberi hak kepada orang Islam dan juga kepada orang bukan Islam,” ujarnya.

Kemudian yang ketiga UMMAH memfokuskan kepada pendidikan iaitu mahu masyarakat lebih memiliki jati diri melalui kesedaran kempen yang di bawa.

“Pendidikan merupakan tunjang dalam pembentukan jati diri manusia. Oleh itu, kerajaan Perikatan Nasional hendaklah memberi fokus melalui pendidikan membina jati diri rakyat.

“Arak bukanlah budaya mahupun gaya hidup yang dibenarkan subur membiak dalam masyarakat,” katanya selepas menyerahkan memorandum di Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di sini hari ini.- HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: