HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 Mei 2020

Dr. Mahathir tidak ada jawatan dalam Bersatu pada asalnya

TUN Dr. Mahathir Mohamad pada asalnya tidak mempunyai sebarang jawatan dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Bekas Perdana Menteri itu bagaimanapun turut terlibat sebagai pengasas parti itu yang kini sudah berpecah kepada dua kumpulan.

Tetapi bukan Dr. Mahathir seorang yang mengasaskan parti itu. Terdapat enam orang lagi yang turut terlibat dalam gerakan dari peringkat awal bagi mengasaskan Bersatu.

Mereka ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Ainina Saaduddin, Syed Saddid Syed Abdul Rahman, Akramshah Sanusi dan Cikgu Kamarul.

“Pengasas ini hanya menubuhkan parti sebagai protem committee (jawatankuasa sementara) untuk urusan  penubuhan dengan pihak ROS (Pendaftar Pertubuhan),” kata Ainina kepada Suara Merdeka.

Ainina yang juga merupakan bekas Ketua Wanita Bersatu memberikan penjelasan itu ketika ditanya mengenai dakwaan Dr. Mahathir bahawa beliau merupakan pengasas parti itu dan mencabar pemecatannya sebagai Pengerusi Bersatu.

Menurut Ainina, kerangka parti disusun dengan meletakkan Muhyiddin sebagai presiden, Mukhriz sebagai timbalan diikuti oleh yang lain-lain.

Yang jelas kata beliau jawatan untuk Ahli Parlimen Langkawi itu dalam parti tersebut pada mulanya memang tiada.

Tetapi kata beliau, selepas didesak baharulah semua pihak termasuk Mukhriz bersetuju untuk mewujudkan jawatan untuk bekas presiden UMNO selama 22 tahun itu.

“Jawatan untuk Tun Dr. Mahathir dalam struktur parti tiada pada mulanya.

“Saya sendiri bertekak di dalam mesyuarat untuk membentuk penstrukturan parti mendesak diwujudkan jawatan pengerusi parti supaya Tun Dr. Mahathir berada di dalam sistem secara formal,” jelas Ainina.

Kemelut dalam kepimpinan Bersatu bermula apabila Dr. Mahathir bertindak melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri dan kemudian turut meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Bersatu.

Apabila Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, Dr. Mahathir tidak mengiktiraf pelantikannya dan pada sidang Parlimen pada 18 Mei lalu, Ahli Parlimen Langkawi itu berada di pihak pembangkang. Sedangkan Bersatu merupakan salah satu parti yang membentuk kerajaan.

Disebabkan itu berdasarkan perlembagaan parti, keahlian bekas Perdana Menteri itu dalam Bersatu dikatakan telah gugur. – SM


Tiada ulasan: