HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 Mei 2020

Kadar penggunaan elektrik kediaman meningkat 23% sepanjang PKP, kata menteri

Kerajaan memperkenalkan beberapa pakej rangsangan ekonomi, termasuk diskaun
elektrik berperingkat antara 2 hingga 50% yang diberikan kepada 7.5 juta pengguna
kediaman di semenanjung.

KUALA LUMPUR: Kadar penggunaan elektrik dalam sektor kediaman meningkat kira-kira 23% sepanjang tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) berbanding penurunan 33% penggunaan elektrik secara keseluruhannya di semenanjung Malaysia, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau berkata, langkah kerajaan menutup semua premis perniagaan dan menghentikan aktiviti ekonomi menyebabkan berlaku penurunan penggunaan elektrik di semenanjung serta di Sabah (30%) dan Sarawak (20%).

Katanya, penurunan mendadak paling ketara ialah di pusat-pusat komersial seperti kompleks perniagaan, pusat beli-belah dan hotel, antara 31 dan 47%.

“Bagaimanapun, peningkatan (sektor kediaman) sekitar 23% ini, mungkin bermakna orang (ramai) duduk di rumah mengikut arahan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam satu program temu bual di TV3 baru-baru ini.

Beliau berkata, sektor yang mengalami penurunan kadar penggunaan elektrik akan mengambil masa untuk pulih, terutamanya sektor industri dan sektor lain yang aktivitinya dihentikan seketika semasa tempoh PKP.

Namun demikian, katanya terdapat sektor yang menunjukkan pemulihan yang lebih cepat antaranya sektor kesihatan, komunikasi dan makanan.

Menyedari penularan wabak Covid-19 memberi impak yang besar kepada rakyat, katanya, kerajaan memperkenalkan beberapa pakej rangsangan ekonomi, termasuk diskaun elektrik berperingkat antara dua hingga 50% yang diberikan kepada 7.5 juta pengguna kediaman di semenanjung.

Selain pengguna kediaman, katanya, pengguna sektor lain yang terjejas turut menerima manfaat daripada pemberian diskaun elektrik tersebut.

Beliau berkata, sebanyak RM569 juta daripada peruntukan Kementerian Kewangan, Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) dan TNB sendiri dibelanjakan untuk lebih 9 juta pengguna di semenanjung untuk tujuan itu.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Shamsul Anuar Nasarah.

Shamsul berkata, sebagai langkah tambahan, kerajaan bersama TNB membuat keputusan bahawa tiada pemotongan elektrik sehingga 31 Julai ini, selain memperkenalkan pelan bayaran mudah untuk pengguna kediaman sehingga Disember serta tidak mengenakan surcaj lewat bayaran sehingga 30 September ini.

Mengenai pelarasan bil elektrik berikutan pengeluaran bil sebenar selepas bil anggaran diberikan sepanjang tempoh PKP, katanya kementerian dan TNB akan memberikan yang terbaik kepada rakyat serta memastikan rakyat tidak menerima caj yang tidak berpatutan.

Katanya, jika pengguna menerima bil berjumlah sebanyak RM73.32 untuk kegunaan 280 kilowatt jam (kWJ) elektrik pada Februari, jumlah tersebut digunakan sebagai bil anggaran untuk Mac, April dan Mei.

“Katakan bacaan sebenar pada Jun adalah 1,400 kWJ untuk tempoh empat bulan dari Mac hingga Jun, bacaan sebenar pada bulan Jun bukan dikira berdasarkan blok tarif pada bulan Jun, tetapi dibahagikan kepada empat bulan secara purata supaya rakyat tidak dikenakan caj yang tidak berpatutan,” katanya.

Beliau berkata disebabkan pembahagian secara purata untuk tempoh 4 bulan, penggunaan setiap bulan hanyalah sebanyak 350 kWJ dan bil yang perlu dibayar adalah sebanyak RM102.80 sebulan.

“Oleh it bil untuk 4 bulan adalah sebanyak RM411.20 sahaja berbanding RM681 tanpa kaedah ini,” katanya, yang turut menasihatkan pengguna untuk merujuk laman web https://www.tnb.com.my/prihatin atau perkhidmatan pelanggan TNB.

“Kita akan membantu sebaik mungkin. Jika ada kekeliruan boleh menghubungi TNB atau melayari laman web yang disediakan,” katanya.


Tiada ulasan: