HALAMAN SANTAI

Rabu, 27 Mei 2020

Pemandu mabuk mesti dihukum ‘paling keras’, kata bekas menteri

Bekas menteri pengangkutan Loke Siew Fook berkata, ketika berada dalam
pentadbiran PH, beliau merangka beberapa cadangan pindaan Akta Pengangkutan
Jalan 1987 bagi memperketatkan undang-undang melibatkan pemandu mabuk.

PETALING JAYA: Individu yang memandu dalam keadaan mabuk perlu dikenakan hukuman “paling keras”, kata Loke Siew Fook.

Bekas menteri pengangkutan itu juga berkata, tidak ada tolak ansur kepada pemandu mabuk.

“Pendirian kami amat jelas. Kami tidak menafikan hak orang bukan Islam untuk mengambil minuman keras. Tetapi, selepas minum alkohol, anda tidak ada hak untuk memandu dan membahayakan orang lain.

“Pemandu mabuk mesti dihukum seberat-beratnya. Tiada tolak ansur kepada pemandu mabuk,” katanya dalam satu kenyataan.

Loke berkata, ketika memegang jawatan menteri pengangkutan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan, beliau merangka beberapa cadangan pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi memperketatkan undang-undang melibatkan pemandu mabuk.

“(Antaranya) meminda Seksyen 44, iaitu memandu di bawah pengaruh dadah atau alkohol yang menyebabkan kematian boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan minimum 6 tahun. (Hukuman penjara sekarang tidak kurang daripada 3 tahun, tetapi tidak lebih daripada 10 tahun.).

“Menurunkan kadar alkohol yang dibenarkan daripada 80 mg alkohol dalam 100 ml darah kepada 50 mg alkohol dalam 100 ml darah (atau kurang) mengikut piawaian World Health Organization.

“Meningkatkan denda dan penjara kepada pemandu yang melebihi had (alkohol) yang dibenarkan walaupun tidak terlibat dalam kemalangan,”katanya.

Ahli Parlimen Seremban itu juga bekata, tindakan menggantung lesen memandu seumur hidup sekiranya seseorang didapati bersalah menyebabkan kematian semasa memandu dalam keadaan mabuk juga adalah antara cadangan yang dibuat pihaknya.

“Saya berpendapat seseorang pemandu mabuk yang telah meragut nyawa orang lain tidak layak untuk memandu di atas jalan raya,” katanya.

Loke bagaimanapun berkata, undang-undang yang ketat tidak akan efektif, sekiranya tiada penguatkuasaan yang tegas dan berkesan.

“Pihak penguatkuasa undang-undang mesti mempunyai tahap integriti yang paling tinggi dan menjalankan tugas. ‘Without fear or favour’.

“Itulah sebabnya saya telah berbincang dengan ketua pengarah JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) untuk melaksanakan ‘pilot project’ di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk mewajibkan semua penguat kuasa JPJ memakai ‘body camera’ semasa menjalankan tugas. Namun semua itu tinggal cadangan sekarang,” katanya.

Beliau mengulas kejadian seorang lelaki maut di Kuantan akibat dirempuh oleh seorang pemandu yang memandu melawan arus kenderaan dipercayai di bawah pengaruh alkohol pada 25 Mei lepas.

Dalam kejadian jam 9.20 malam itu, mangsa, Irwan Herman Kamarudin, 41, meninggal dunia di Jalan Pintasan Kuantan dekat Semambu akibat kecederaan parah di kepala dan dada.

Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong sebelum ini berkata, kementeriannya sedia meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) supaya hukuman lebih berat boleh dikenakan terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian atau kecederaan pengguna jalan raya yang lain.

Katanya, JPJ diarah untuk meneliti semula akta tersebut.

Semalam Wee berkongsi gambar sampul surat mengandungi cadangan pindaan ke atas akta tersebut melibatkan seksyen berkaitan memandu bawah pengaruh alkohol.

“Sepanjang bulan Mei ini sahaja, beberapa kemalangan berturut-turut dilaporkan berkaitan pemandu mabuk,” katanya di Facebook.

Wee berkata, dalam tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dan cuti Aidilfitri, pejabatnya sedang meneliti semua cadangan berkaitan pindaan itu.

“Pada 1 Jun, saya akan memanggil satu sesi taklimat di kementerian bersama JPJ untuk segera meneliti dan menyemak cadangan pindaan akta berkaitan,” katanya.

Pindaan akta berkenaan perlu dimuktamadkan dalam pertengahan Jun ini katanya, dengan mengambil kira pandangan orang ramai melalui soal selidik yang dijalankan, sebelum ia dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet.


Tiada ulasan: