Pemandu, penumpang naiki kereta persendirian tak tinggal serumah
LAHAD DATU – Seramai 34 individu ditahan dan 11 kereta sapu di daerah ini disita semalam, selepas didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan ketika ini bagi membendung penularan wabak COVID-19.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Nasri Mansor berkata, kesalahan utama yang dikesan adalah menaiki kenderaan persendirian yang digunakan sebagai kereta sapu, dengan pemandu dan penumpang tidak tinggal serumah.
Dalam operasi di Jalan Tengah Nipah bermula 7 pagi itu, mendapati, individu ditahan berumur antara 18 dan 68 tahun kerana melanggar Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No 6) 2020, dan boleh dihukum mengikut Peraturan 15(1) peraturan yang sama.
“Daripada 34 yang ditahan, 17 individu merupakan warga tempatan membabitkan 10 wanita dan tujuh lelaki dan semua mereka telah dikenakan kompaun,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Nasri berkata, bakinya, membabitkan enam wanita dan 11 lelaki yang juga warga asing, ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen. -Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan