HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 Mei 2020

‘Kata nak pecat, saya tunggu di pejabat’

azrulhakimie


Tun M hadir ke ibu pejabat Bersatu selepas digugur keahlian

KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan hadir ke ibu pejabat parti itu, petang ini selepas digugurkan keahliannya bersama empat lagi Ahli Parlimen daripada parti itu, semalam.

Menerusi status di Facebook rasminya, beliau menyatakan hadir ke ibu pejabat itu berkaitan urusan pengguguran keahliannya.

“Kata nak pecat, saya tunggu di pejabat,” katanya dalam catatan itu yang disertakan video berdurasi 36 saat yang memperlihatkan beliau masuk ke pejabat dan duduk di kerusi bersama beberapa orang pengiring.

Dijangkakan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin akan mengadakan sidang media bagi menjawab isu pengguguran keahlian itu di lokasi yang sama.

Semalam, Bersatu menggugurkan keahlian Dr Mahathir bersama empat lagi Ahli Parlimen daripada parti itu.

Mereka yang lain ialah bekas Timbalan Presiden Bersatu yang juga Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) yang juga Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik serta Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah.

Tiada ulasan: