Dato’ Haji Zainul Rijal Abu Bakar
Seorang lelaki cabar keperlembagaan berkaitan 'persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii'
1. HARI
INI dilaporkan di media Mahkamah Persekutuan telah memberi kebenaran
kepada seorang lelaki mencabar keperlembagaan seksyen 28 Enakmen Jenayah
Syariah (Negeri Selangor) 1995 berkenaan “persetubuhan bertentangan
dengan hukum tabii”. Cabaran difailkan lelaki tersebut setelah didakwa
di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor atas tuduhan melakukan seks luar
tabii.
2.
Penghakiman seorang Hakim Mahkamah Persekutuan yang dibuat pada 14 Mei
lepas adalah bersandarkan kepada Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutan
yang memberi kuasa kepada Mahkamah Persekutuan memutuskan keperlembagaan
sesuatu undang-undang.
3. Lelaki
tersebut yang merupakan salah seorang dari sebelas yang didakwa di
Mahkamah Syariah itu juga dilaporkan telah memfailkan permohonan semakan
kehakiman di Mahkamah Tinggi tetapi permohonan tersebut ditangguhkan
bagi memberi laluan kepada prosiding di Mahkamah Persekutuan ini. Begitu
juga perbicaraan di mahkamah syariah telah ditangguhkan bagi
mendapatkan keputusan Mahkamah Persekutuan.
4. Antara
asas cabaran tersebut ialah seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri
Selangor) 1995 telah melampaui bidangkuasanya kerana terdapat peruntukan
kesalahan yang sama di dalam Kanun Keseksaan khususnya seksyen 377
secara berasingan ataupun keseluruhannya.
5. Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 memperuntukkan seperti berikut:
Mana-mana
orang yang melakukan persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii dengan
mana-mana lelaki, perempuan atau binatang adalah melakukan suatu
kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu
ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau
disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana
kombinasi hukuman itu.
6. Manakala seksyen 377A hingga 377C adalah seperti berikut:
Seksyen 377A. Persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii.
Mana-mana
orang yang melakukan perhubungan seks dengan seseorang lain dengan
memasukkan zakarnya ke dalam dubur atau mulut seseorang lain itu dikata
melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii.
Seksyen 377B. Seksaan kerana melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii.
Barang
siapa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan
aturan tabii hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh
sampai dua puluh tahun, dan bolehlah juga dikenakan sebat.
Seksyen 377C. Melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan dsb.
Barang
siapa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan
aturan luar tabii ke atas seorang lain tanpa kerelaannya, atau
bertentangan dengan kemahuannya atau dengan meletakkan orang lain dalam
ketakutan mati atau cedera kepada orang itu atau kepada mana-mana orang
lain, hendaklah disiksa dengan penjara selama tempoh tidak kurang dari 5
tahun dan tidak lebih dari 20 tahun, dan bolehlah juga dikenakan sebat
7. Cabaran
yang dibuat oleh lelaki tersebut hanya terhadap keperlembagaan seksyen
28 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 yang membawa hukuman
jauh lebih rendah daripada yang diperuntukkan oleh Kanun Kesiksaan. Jika
beliau berjaya seksyen 28 tersebut tidak lagi boleh digunakan bagi
mendakwa mereka di mahkamah syariah terhadap orang yang melakukan liwat.
Seksyen 28 membawa hukuman maksima didenda tidak melebihi lima ribu
ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau
disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana
kombinasi hukuman itu.
8.
Manakala seksyen 377A boleh diseksa dengan hukuman yang dinyatakan di
dalam seksyen 377B iaitu dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai
dua puluh tahun, dan bolehlah juga dikenakan sebat atau hukuman dalam
seksyen 377C iaitu disiksa dengan penjara selama tempoh tidak kurang
dari 5 tahun dan tidak lebih dari 20 tahun, dan bolehlah juga dikenakan
sebat.
9. PPMM
juga ingin menjelaskan sebatan di mahkamah syariah adalah sangat ringan
berbanding dengan sebatan yang dijatuhkan oleh mahkamah sivil yang
mendatangkan kesengsaraan melukakan dan mendatangkan kecederaan.
10. Oleh
itu timbul persoalan apakah niat sebenar lelaki tersebut ataupun sesiapa
juga dibelakang beliau mencabar Enakmen Syariah dan bukan Kanun
Kesiksaan. Apakah keuntungan yang akan diperolehi beliau apabila
mencabar undang-undang yang membawa hukuman lebih ringan berbanding yang
lebih berat?
11. Malah
golongan LGBTIQ juga dilaporkan mengalu-alukan penghakiman tersebut
kerana berpandangan akan memberi kesan luas terhadap hak serta layanan
saksama bagi individu LGBTIQ tanpa merujuk hukuman yang ada di dalam
seksyen 377A hingga C itu lebih berat dari hukuman di dalam Enakmen
Syariah. Adakah hukuman berat di dalam Kanun Keseksaan tersebut
menggambarkan layanan saksama bagi individu LGBTIQ?
12.
Kes-kes terdahulu juga telah memutuskan tafsiran ‘offences against the
precepts of Islam’ di dalam Jadual Kesembilan Senarai II Butiran 1
ditafsirkan sebagai kesalahan yang melanggar perintah agama Islam telah
jelas menunjukkan bidangkuasa kepada Dewan-Dewan Undangan Negeri
mengadakan apa-apa kesalahan yang melanggar perintah agama Islam
termasulah liwat.
13. Begitu
juga jika terdapat dua kesalahan yang sama, telah diputuskan seseorang
itu tidak boleh didakwa atas kesalahan yang sama sebanyak dua kali,
tetapi jika satu mahkamah telah mengadilinya, mahkamah yang lain tidak
boleh sekali lagi mengadili kesalahan yang sama.
14. Oleh
yang demikian sekali lagi persoalan sebenarnya ialah kenapakah cabaran
tidak dibuat terhadap peruntukan yang membawa hukuman lebih berat di
dalam Kanun Kesiksaan berbanding Enakmen Jenayah Syariah. Adakah lelaki
tersebut mahu dihukum dengan hukuman lebih berat?
15. PPMM
merasakan asakan yang tidak putus-putus terhadap institusi Islam seperti
ini sejak kebelakangan membawa agenda yang tersembunyi dan mempunyai
objektif yang tertentu. PPMM menyeru Kerajaan Malaysia dan Majlis Agama
Islam Selangor khususnya supaya memohon mencelah dalam prosiding ini
apabila merit kes didengar kelak.
16. Begitu
juga Majlis Agama Islam negeri-negeri lain mengambil peranan aktif
memohon kebenaran mencelah atau menjadi amicus curae (pemerhati) untuk
sama-sama membantu mahkamah memberi keputusan yang tepat di dalam kes
ini kerana negeri-negeri lain juga mempunyai peruntukan yang lebih
kurang sama dengan peruntukan di dalam seksyen 28 Enakmen Kesalahan
Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 tersebut.
Dato’ Haji Zainul Rijal Abu Bakar
Presiden
Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia
Presiden
Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan