fazleensafina
Semua perlu main peranan bongkar aktiviti tersembunyi mereka
BANGI – Penahanan 42 warga China yang mempromosikan perjudian atas talian menyerlahkan lagi bukti bahawa ramai pelancong dari negara itu yang tidak kembali ke tanah air mereka.
Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin mendakwa, pihaknya menjangkakan puluhan ribu atau ratusan ribu pelancong warga China yang tidak kembali pulang ke negara asal terbabit dengan industri perjudian, pelacuran, gangsterisme dan pelbagai lagi aktiviti jenayah.
“Pemilikan dokumen rasmi di kalangan mereka kelak seperti kad pengenalan dan pasport adalah kemuncak kepada kerosakan ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, polis menahan 42 warga China termasuk dua wanita, selepas menyerbu sebuah kondominiun di Jalan Tun Razak, di ibu negara, Selasa lepas.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, menahan kesemua suspek berusia antara 23 hingga 35 tahun, dalam serbuan bermula 5.30 petang itu.
Beliau berkata, hasil siasatan dan pemeriksaan mendapati modus operandi sindiket ini adalah mempromosikan judi dalam talian bagi pasaran luar negara iaitu China, dengan menggunakan aplikasi WeChat, Whatsapp dan QQChat.
Mengucapkan syabas kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas tangkapan berkenaan, Prof Zainur Rashid menggesa, semua pihak untuk memainkan peranan penting bagi membongkar rahsia dan aktiviti tersembunyi pelancong warga asing.
“Tindakan segera juga perlu dikenakan untuk menghantar pelancong warga asing ke negara asal,” tegasnya.
Pada 28 April lalu, seramai 30 individu warga China ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kegiatan judi dalam talian di sebuah unit kondominium di Bandar Mahkota Cheras, Kajang.
Sehari selepas itu, polis menahan 44 warga China termasuk lapan wanita selepas menyerbu empat rumah banglo dipercayai menjadi lokasi aktiviti perjudian dalam talian, di Nilai, Negeri Sembilan.
Sebelum ini, negara pernah dikejutkan dengan penangkapan 680 warga China yang aktif menjalankan aktiviti sindiket penipuan pelaburan dalam talian terbesar di Cyberjaya.
Kemudian, 87 lagi ditahan di beberapa unit kondominium di sekitar Setiawalk, Puchong juga menjalankan skim pelaburan dan perjudian dalam talian.
Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 2 mendapati, tiada rekod tarikh keluar lebih 95 peratus pelancong China dan India yang melawat ke negara ini antara 2016 sehingga tahun lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan