KUCHING: Ketua PKR Sarawak, Larry Sng berkata parti Pakatan Harapan harus bekerjasama demi kepentingan bersama untuk mengukuhkan kedudukan masing-masing dan menyokong parti rakan.
“Sekiranya kita bersendirian, ia akan mematikan sebarang harapan untuk membawa perubahan bermakna ke lanskap politik,” katanya kepada FMT.
Setiausaha Pemuda PKR, Ahmad Syukri Abd Razab semalam berkata PKR wajar tinggalkan DAP dan Amanah kerana rakan parti itu lebih suka mencalonkan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.
Beliau juga mempersoalkan kenapa mereka “lebih berselera” mengangkat Mahathir daripada presidennya, Anwar Ibrahim.
Syukri berkata mereka mengabaikan bantahan daripada PKR semasa PH berkuasa dengan melantik beberapa pemimpin anti-Anwar ke jawatan Kabinet. Sekarang rakan yang sama mendesak PKR untuk sekali lagi menerima Mahathir sebagai perdana menteri, katanya.
“PKR wajar tinggalkan PH. Serahkan PH kepada Amanah, DAP, dan atuk,” katanya dalam kenyataan yang dibuat atas kapasiti peribadi.
Walaupun kepimpinan PKR peringkat negeri menyokong untuk terus bersama gabungan itu, terdapat pemimpin akar umbi yang tidak bersetuju.
Ketua PKR Batang Lupar, Abang Zulkifli Abang Engkeh ketika dihubungi bersetuju dengan pandangan Syukri.
Katanya, sekiranya DAP dan Amanah berhasrat untuk bekerjasama dengan PKR, mereka patut mencalonkan Anwar sebagai perdana menteri sekiranya PH membentuk kerajaan.
“Kita kan ada persetujuan bahawa Anwar akan jadi perdana menteri seterusnya,” katanya, dan menambah Mahathir tidak lagi boleh dipercayai.
PH yang terdiri daripada gabungan PKR, Amanah, dan DAP, disokong Warisan di Sabah dan 4 ahli Parlimen yang menyokong Mahathir, sepatutnya mengumumkan calon perdana menteri gabungan itu pada Selesa.
Pengumuman sebahagian dari kempen untuk kembali membentuk kerajaan menerusi undi tidak percaya.
FMT sebelum ini melaporkan PH bersetuju untuk menamakan Mahathir untuk jawatan tertinggi itu dengan Anwar Ibrahim sebagai timbalannya dalam satu perjanjian “hitam putih”.
Bagaimanapun, keputusan yang dilaporkan itu tidak mudah diterima penyokong Anwar, yang menuduh Mahathir memungkiri janji untuk menyerahkan jawatan itu kepada presiden PKR itu semasa pentadbiran 21 bulan PH.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan