MALAYSIA KINI
Pemikiran allahyarham Dr Syed Hussein Alatas mengenai rasuah wajar dijadikan jalan penyelesaian bagi permasalahan itu dan bukan sekadar sebagai sumber rujukan sahaja.
"Teori Dr Syed Hussein bahawa antara faktor yang boleh membanteras rasuah ialah dengan memberi tumpuan terhadap peranan kepimpinan, iltizam politik yang teguh dan integriti individu, ia sangat relevan untuk menyelesaikan masalah rasuah di Malaysia sekarang," kata Prof Datuk Dr Abdul Rahman Embong.
Profesor di Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas) UKM berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja 'Persoalan Rasuah dan Integriti: Meninjau Kembali Pemikiran Syed Hussein Alatas dan Kerelevannannya Hari ini' di satu seminar anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) semalam.
Menurut Bernama, Abdul Rahman juga berkata Syed Hussein menekankan pentingnya membangkitkan amarah rakyat terhadap rasuah supaya gema suara dan tenaga masyarakat dapat membongkar gejala rasuah itu sekaligus membanterasnya.
"Karya-karyanya mengambil pendekatan teori yang sistematik dan menarik, metodologi yang sesuai serta menunjukkan ketajaman analisis yang luar biasa, teorinya bersifat menyeluruh dengan menegaskan perlunya mengenal pasti ciri-ciri rasuah dan bagaimana untuk membendungnya," katanya.
Karya-karya Dr Syed Hussein mengenai rasuah termasuklah Corruption and the Destiny of Asia (terbit 1999), Corruption: Its Nature, Causes and Functions (1990), The Problem of Corruption (1986) dan The Sociology of Corruption (1968).
Warisan sumbangan pemikiran Syed Hussein dalam bidang penulisan sangat berkesan sehingga karya beliau mengenai rasuah masih lagi digunakan sebagai buku teks di universiti luar negara, kata Ketua Pengarah DBP Datuk Termuzi Abdul Aziz selepas merasmikan seminar itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan