HALAMAN SANTAI

Rabu, 26 Ogos 2009

Rosol nafi beliau dan lapan Adun Umno Terengganu sertai PKR

BERNAMA


KUALA TERENGGANU: Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Ajil, Datuk Rosol Wahid, menafikan laporan sebuah portal berita kononnya beliau dan lapan lagi Adun bercadang meninggalkan Umno untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat.

Beliau berkata, laporan oleh portal The Malaysian Insider itu semata-mata untuk menjatuhkan imej Umno di samping sebagai provokasi supaya mereka menyertai PKR.

Ketika ditemui pemberita pada persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di sini hari ini, Rosol berkata beliau bersama Adun Umno yang lain itu tidak pernah pun berbincang mengenai perkara itu walaupun beliau mengakui masih wujud masalah dalaman dalam kalangan pemimpin parti itu di Terengganu.

"Perkara ini tidak akan berlaku dalam kumpulan kita. Khabar angin ini hanya untuk menimbulkan suasana tidak selesa di kalangan wakil rakyat kita (Umno).

"Apa yang pasti, kita masih lagi wakil rakyat BN...itu tiada kompromi. Apa yang berlaku sebenarnya bagi memastikan kerajaan kita kuat dan kita yakin dengan kepimpinan Datuk Seri Najib (Tun Razak)," katanya.

The Malaysian Insider melaporkan sembilan Adun Umno diketuai Rosol dikatakan bersetuju menyertai PKR dan akan bergabung dengan lapan Adun PAS bagi membolehkan mereka membentuk kerajaan baru di Terengganu.

Namun, menurut laporan portal itu, hasrat berkenaan terganggu apabila Pesuruhjaya PAS Terengganu Datuk Harun Taib yang juga Ketua Dewan Ulama Pas, tidak bersetuju dengan rancangan itu kerana beliau dikatakan lebih senang bekerjasama dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.

Ditanya mengenai tiada penglibatan wakil rakyat BN dalam sesi soal jawab dan perbahasan pada dua hari persidangan dewan itu berlangsung, Rosol mengakui perkara itu kerana masih ada masalah dalaman di kalangan wakil rakyat parti itu dengan Menteri Besar yang belum selesai.

"Malah, kita juga tidak dimaklumkan mengenai perkembangan terkini pembangunan negeri. Bagaimana kita nak pertahankan (pendirian kerajaan negeri dalam dewan) sedangkan kita pun tiada maklumat," katanya.

Tanpa mahu menjelaskan masalah dalaman yang berlaku, beliau berkata perkara itu sudah dibangkitkan semasa pertemuan dengan Najib pada 23 Ogos lepas.

Beliau berkata Presiden Umno itu juga memberi jaminan bahawa kemelut politik yang berlaku di Terengganu akan diselesaikan segera.

Sementara itu, Harun yang juga Adun Manir, berkata beliau tidak tahu menahu mengenai sembilan Adun Umno akan menyertai PKR bagi membolehkan mereka bergabung dengan lapan Adun Pas untuk membentuk kerajaan baru di negeri ini.

Katanya, beliau ada berjumpa dengan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengadakan ceramah di Kemaman barubaru ini, namun mereka tidak membincangkan mengenai pembentukan kerajaan baru itu.

"Apa yang disebutsebutkan itu, tiada dalam maklumat saya," katanya. DUN Terengganu mempunyai 32 kerusi, dengan 24 dikuasai Umno dan lapan oleh PAS.

Tiada ulasan: