HALAMAN SANTAI

Sabtu, 29 Ogos 2009

Murid tiru aksi tarzan mati terjerut tali buaian

MYMETRO


KUALA LIPIS: Seorang murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Betau, dekat sini, maut selepas lehernya terjerut tali buaian ketika mangsa dipercayai cuba meniru aksi ala tarzan di rumahnya di Kampung Samut, Sungai Koyan, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, mangsa yang berketurunan Orang Asli suku kaum Semai, Batrim Baharum, 10, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat sesak nafas.

Ketika kejadian, bapa mangsa, Baharum Busu Kalai, 43, bersama seorang lagi anaknya sedang bermain bola sepak manakala isterinya pula bertemu bomoh untuk merawat anak bongsu mereka yang berusia lapan bulan kerana demam.

Mangsa dikatakan bermain seorang diri dalam rumah sebelum meniru aksi tarzan menggunakan tali buaian adik bongsunya.

Ketua Polis daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan, berkata kejadian itu disedari bapa mangsa yang masuk ke dalam rumah dan terkejut apabila menemui mangsa tergantung dalam keadaan terkulai.

Menurutnya, bapa mangsa kemudian memotong tali buaian itu dan cuba memberi bantuan pernafasan tetapi gagal sebelum menghantar mangsa ke Hospital Kuala Lipis (HKL).

Katanya, hasil bedah siasat dijalankan mendapati mangsa sudah meninggal dunia di tempat kejadian akibat sesak nafas.

Beliau berkata, siasatan mendapati, bapa mangsa tidak menyedari mangsa bermain seorang diri dalam rumah sebelum ditemui tergantung.

Tiada ulasan: