HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Ogos 2009

Ketua Polis S'gor gesa orang ramai bertenang

MALAYSIA KINI


Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar hari ini menasihatkan orang ramai supaya bertenang ekoran protes oleh 50 penduduk di Shah Alam yang berarak membawa kepala lembu sebagai membantah cadangan memindahkan kuil Hindu di situ.

Mereka terdiri daripada penduduk Seksyen 23 Shah Alam bersama beberapa NGO Melayu.

Khalid juga mengingatkan orang ramai supaya jangan mengadakan demonstrasi yang menyentuhkan sensitivi agama.

"Tidak ada permit polis dikeluar bagi mengadakan protes tersebut. Ianya satu perhimpunan haram. Mereka berkumpul selama kira-kira 15 minit dan bersurai selepas diarahkan berbuat demikian.

"Mereka juga diarahkan supaya mengalih kepala lembu itu, dan mereka mematuhinya," katanya kepada Malaysiakini.

Sehingga ini, kata Khalid, tidak ada laporan polis yang dibuat berhubung insiden tersebut.

"Jika ada laporan polis dibuat, pasti kita akan mengambil tindakan sewajarnya," tegasnya.

Sambil menyuarakan rasa kesalnya dengan insiden tersebut, Khalid menegaskan, setiap orang mesti menghormati agama dan sensitivi kaum dan tidak mengambil tindakan seumpama itu.

Laporan polis

Sementara itu, exco kerajaan Selangor, Dr Xavier Jayakumar menyifatkan perarakan itu "tidak wajar, tidak boleh diterima dan tidak sensitif terhadap agama lain."

Katanya, beliau akan membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

Dr Xavier berkata, mereka yang mengadakan perarakan itu tidak beretika dan mahu mencetuskan kebencian kaum dan agama.

"Saya akan buat laporan polis terhadap mereka," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau juga kecewa kerana anggota polis yang ditugaskan di situ didakwanya tidak mengambil tindakan terhadap mereka yang mengadakan perarakan tersebut.

Dr Xavier mendakwa, pihak polis tidak menghalang mereka yang mengadakan perarakan dan perhimpunan tersebut.

Sebaliknya, kata beliau, pihak polis sepatutnya bertindak menangkap mereka dan mendakwa mereka atas tuduhan membangkitkan kebencian.

Tiada ulasan: