HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Ogos 2009

Tiada kaitan pengganas - Musa

Oleh UMAVATHI RAMAYAH


KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung pemeriksaan polis terhadap sebuah kilang membuat bahan letupan di Batu Arang, Rawang dekat sini baru-baru ini.

Menurut beliau, pemeriksaan itu bagi mengesan pembeli bahan letupan tersebut selain memastikan ia tidak disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu.

Namun, katanya, tidak timbul spekulasi bahawa kilang itu mempunyai kaitan dengan aktiviti kumpulan pengganas.

"Kita nak tahu siapa pembeli dan tujuan mereka beli. Ini kerana kilang pembekal selalunya akan menyimpan satu senarai pembeli untuk tujuan rekod.

"Pada masa yang sama, kita turut memeriksa tapak kuari berhampiran untuk tujuan yang sama," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian sumbangan Hari Raya Aidilfitri daripada Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) di sini hari ini.

Isteri Perdana Menteri yang juga Yang Dipertua Bakti, Datin Seri Rosmah Mansor dan isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman hadir menyerahkan sumbangan tersebut.

Polis membuat pemeriksaan di kilang berkenaan selepas penemuan lima bungkusan berisi bahan letupan dan peledak di penempatan pendatang asing tanpa izin di ibu negara, pada 21 Ogos lalu.

Dalam serbuan kira-kira pukul 3 petang itu, polis turut menemui senjata berbahaya seperti parang panjang, kapak dan celoret.

Mengulas lanjut Musa memberitahu, berdasarkan pemeriksaan awal, bahan letupan yang digunapakai oleh kilang tersebut bukan dari jenis bom plastik C4 yang selalunya digunakan oleh pasukan keselamatan.

"Sebaliknya ia adalah bahan letupan, 'stimulex' yang biasanya digunakan untuk kerja-kerja kuari," katanya.

Tiada ulasan: