HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Ogos 2009

Sambutan kemerdekaan cuma 40 minit

Oleh NIZAM YATIM


KUALA LUMPUR - Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-52 di pekarangan Parlimen hanya akan berlangsung selama 40 minit bagi menghormati bulan Ramadan dan sebagai langkah berjaga-jaga berikutan penularan wabak selesema babi atau influenza A (H1N1).

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, sambutan pada Isnin ini akan dimulakan dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada pukul 8 pagi dan kemudiannya diikuti kepimpinan tertinggi negara lain.

Beliau berkata, sebanyak 1,600 orang akan berada di pekarangan Parlimen dan ia termasuk bekas Perdana Menteri, ahli-ahli Parlimen dan wakil kedutaan asing manakala 1,000 peserta lagi akan berdiri di kiri kanan jalan dari pintu masuk utama sehingga pekarangan Parlimen.

''Majlis akan dimulakan dengan pertunjukan gerak senaman serta nyanyian yang melambangkan 1Malaysia dan lintas udara oleh pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

''Acara lain yang akan diadakan adalah kawad hormat, ikrar merdeka dan laungan merdeka sebanyak tujuh kali," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Berikutan pekarangan Parlimen yang sempit, katanya, orang ramai digalakkan untuk menyaksikan upacara sambutan itu hanya menerusi siaran langsung televisyen.

''Jika orang ramai masih ingin hadir mereka akan dibenarkan menyertai lebih 6,000 peserta yang akan berdiri di kiri kanan jalan dari bulatan Bank Negara sehingga pintu utama Parlimen.

''Orang ramai dan peserta yang hadir akan diberikan buku kecil mengenai 1Malaysia terbitan Jabatan Penerangan secara percuma.

''Kita juga menggalakkan semua yang hadir untuk memakai penutup mulut dan hidung sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak jangkitan virus H1N1," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Tuanku Mizan; Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menghadiri Majlis Kesyukuran Merdeka yang akan diadakan di Masjid Negara pada Ahad ini.

''Majlis yang akan dihadiri 3,000 orang bermula pada pukul 6.30 petang melibatkan majlis berbuka puasa, solat maghrib, isyak dan tarawih berjemaah serta jamuan moreh," jelasnya.

Katanya, pada hari sama turut diadakan Majlis Kesyukuran Merdeka di St. John Cathedral, Jalan Bukit Nenas; Wisma Buddhist, Jalan Klang Lama dan Kuil Sri Ramalingeswaran, Off Jalan Bangsar yang akan dihadiri menteri dan timbalan menteri bukan Islam.

Sementara itu, beliau berkata, pemilik bangunan dan rumah yang masih lagi tidak mengibarkan Jalur Gemilang diminta segera berbuat demikian.

''Saya memohon supaya ini dijadikan sebagai perjuangan peribadi untuk Malaysia yang dicintai dan bukan untuk apa-apa gerak kerja politik atau kepercayaan lain," katanya.

Tiada ulasan: