HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 Ogos 2009

Ops Sikap mula seminggu sebelum raya - KPN

MSTAR ONLINE


KUALA LUMPUR: Ops Sikap akan mula beroperasi seminggu sebelum Hari Raya Aidil Fitri, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan petang Rabu.

Katanya, polis trafik akan menggunakan sepenuhnya menara pemerhati dan alat perangkap laju di kesemua lebuh raya dan jalan raya utama yang lain.

“Malah kita juga akan mengerahkan unit peronda lebuh raya untuk mengawasi semua laluan utama untuk mengelakkan kesesakan atau mengawal selia perjalanan trafik,” kata Musa.

Beliau menambah, pihak polis juga dari semasa ke semasa akan menjalankan pemeriksaan air kencing ke atas pemandu-pemandu bas dan pengangkutan awam yang lain bagi memastikan mereka bebas dari pengaruh dadah.

“Keseluruhan Ops Sikap ini akan melibatkan lebih 2,000 anggota polis,” kata Musa kepada para pemberita selepas menerima bekalan kuih hari raya daripada Persatuan Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) bagi pihak pasukan keselamatan di sini.

Musa juga menyeru orang-ramai agar memeriksa kenderaan masing-masing sebelum balik ke kampung halaman masing-masing dan sentiasa berhati-hati di jalan raya. Malah katanya, bagi mereka yang bercuti panjang wajar memaklumkan kepada balai polis berdekatan mengenai kekosongan rumah mereka.

Pada majlis hari ini, sejumlah 32,000 kota berisi serunding daging, sambal ikan bilis, kuah sate dan nasi himpit bernilai RM290,000 diserahkan kepada pasukan beruniform yang akan bertugas di seluruh negara pada hari raya nanti.

Bungkusan makanan tersebut akan diagih-agihkan kepada 15,000 anggota tentera, 15,000 anggota polis, 2,300 anggota Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysian dan 1,000 anggota pengaman Bangsa-bangsa Bersatu yang sedang bertugas di luar negara.

Tiada ulasan: