HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Ogos 2009

Kerana nama disangka Ismail Kamus meninggal dunia

MSTAR ONLINE


PETALING JAYA: Gara-gara bunyi nama hampir sama, ada pihak beranggapan bahawa bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Ismail Kamus yang telah meninggal dunia.

Pejabat mStar Online juga menerima panggilan demi panggilan sejak pagi tadi bagi mendapatkan pengesahan mengenai perkara itu.

Malah, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin juga dihujani dengan persoalan sedemikian.

Dalam blognya, Zulkfli berkata, beliau menerima terlalu banyak emel, SMS dan panggilan bertanyakan berita kononnya Ismail Kamus telah meninggal dunia.

"Baru sebentar tadi saya mendapat pengesahan bahawa Ustaz Ismail sedang mengerjakan umrah di Mekah dan alhamdulillah masih sihat.

"Saya percaya ada orang yang terkeliru dengan berita pemergian Allahyarham Senator Profesor Datuk Dr. Ismail yang meninggal dunia dalam penerbangan dari Beijing ke Kuala Lumpur.

"Saya harap maklumat ini akan menghentikan mesej-mesej liar dan tidak bertanggungjawab mengenai Datuk Ismail Kamus," katanya.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan, jenazah Allahyarham Ismail Salleh telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang kira-kira 10.30 malam tadi.

Sebelum itu janazah beliau disembahyangkan di rumah keluarganya di Jalan Melati 2, Sungai Kantan, Fasa 2.

Allahyarham meninggal akibat serangan jantung semasa dalam penerbangan dari China ke Singapura dan disahkan meninggal dunia di Hospital Besar Singapura kira-kira 8 pagi semalam.

Beliau berada di Beijing untuk lawatan kerja selama dua hari.

Jenazah Allahyarham tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia Subang dari Lapangan Terbang Senai, Johor kira-kira 7.30 malam.

Beliau meninggalkan isteri Datin Hasnah Wahab dan enam orang anak berumur antara 12 dan 26 tahun.

Tiada ulasan: