RK Anand
Polis berharap dapat menyiapkan siasatan berhubung protes pemindahan kuil Hindu ke Seksyen 23 dan perarakan kepala lembu menjelang Selasa depan, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar hari ini.
Menurutnya, beberapa individu, termasuk pihak penganjurnya, telah dipanggil untuk disoalsiasat dan dirakam kenyataan mereka.
Khalid berkata, sebuah pasukan khas telah ditubuhkan untuk menyiasat insiden tersebut.
"Kes ini disiasat mengikut Akta Hasutan, dan kami berharap dapat menyelesaikan siasatan menjelang Selasa ini," katanya ketika dihubungi.
Bagaimanapun, katanya, tiada sebarang tangkapan dibuat sehingga ini.
Mengenai kritikan bahawa pihak polis lambat menyiasat kes itu, Khalid berkata pihak polis perlu mengikuti prosedur siasatan.
Beliau menjelaskan, pihak polis perlu mendapatkan pandangan DPP dan mengumpul maklumat terlebih dahulu.
"Kita tidak boleh menangkap orang begitu sahaja dan mendakwa mereka di bawah Akta Hasutan," tambahnya.
Pihak polis dikritik kerana didakwa tidak mengambil sebarang tindakan terhadap mereka yang mengadakan demonstrasi Jumaat lalu.
Menjawab dakwaan tersebut, Khalid berkata, anggotanya mengambil tindakan yang betul apabila meminta peserta demonstrasi itu mengalih kepala lembu bagi mengelak masalah seterusnya.
Sebelum itu, peserta demonstrasi tersebut telah mengarak kepala lembu ke bangunan kerajaan negeri Selangor kerana membantah pemindahan kuil Hindu ke Seksyen 23 Shah Alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan