HALAMAN SANTAI

Sabtu, 29 Ogos 2009

Saksi SPRM dakwa kena tampar, bogel

Oleh Norhashimah Mohd Radzali


SHAH ALAM: Satu laporan polis berhubung aduan saksi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didera dengan ditampar secara bergilir-gilir, dibogelkan, dipukul dengan besi dan dirotan termasuk di bahagian kemaluan sehingga hampir pengsan, akan didedahkan dalam prosiding inkues kematian Teoh Beng Hock.

Peguam pemerhati keluarga Teoh, Gobind Singh Deo, memohon mengemukakan laporan polis itu di Mahkamah Koroner di sini semalam, ketika menyoal saksi ke-19, Penolong Penguasa SPRM Selangor, Mohd Ashraf Mohd Yunus, 27.

Gobind berkata, beliau akan mendedahkan laporan polis yang dibuat seorang saksi SPRM, yang namanya tidak didedahkan, berhubung dakwaan itu bersama-sama bukti gambar kecederaan dialami mangsa ketika disoal siasat di pejabat SPRM Selangor di Tingkat 14, Plaza Masalam, di sini.

Gobind juga mendakwa antara pegawai SPRM yang terbabit melakukan penderaan fizikal terhadap saksi itu ialah Mohd Ashraf.

Koroner Azmil Muntapha Abas kemudian menangguhkan prosiding kepada 8 September ini bagi membolehkan Mohd Ashraf melantik peguam kerana soalan yang bakal disoal Gobind boleh mendedahkan beliau kepada tuduhan jenayah.

Ketika mengemukakan permohonannya, Gobind berkata, laporan polis itu yang membabitkan kes lain, menerangkan secara terperinci bagaimana saksi berkenaan didera pegawai SPRM ketika disoal siasat di pejabat SPRM Selangor.

"Antaranya adalah, pegawai bergilir-gilir menampar saksi, menutup mata saksi dan menyuruhnya berbogel, membalut batang besi dengan surat khabar dan menggunakannya untuk memukul perut, punggung, tangan dan kaki saksi, menendang di perut serta merotan untuk membelasah kemaluan dan tapak kaki sehingga saksi hampir pengsan.

"Ini bukan satu-satunya laporan polis yang ada pada kami, banyak lagi yang akan kami kemukakan," katanya.

Peguam pemerhati SPRM, Datuk Abdul Razak Musa bagaimanapun berkata: "Mungkin sudah menjadi amalan biasa kini, apabila keluar dari pejabat SPRM atau balai polis, mereka akan membuat pelbagai laporan (tuduhan)."

Bagaimanapun katanya, dakwaan itu tidak boleh diterima begitu saja sehingga ia dibuktikan kerana kes itu masih dalam siasatan polis.

Abdul Razak berkata, laporan polis itu tidak relevan untuk dikemukakan di mahkamah kerana kejadian penderaan yang didakwa pengadu tiada kaitan dengan kematian Teoh.

Peguam Tan Hock Chuan, yang dilantik Kerajaan Malaysia turut bersetuju kes penderaan yang didakwa itu tidak berkaitan dengan prosiding inkues, malah nama Mohd Ashraf juga tidak dinyatakan dalam laporan polis itu.

Tiada ulasan: