HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Ogos 2009

Harga bawang melambung RM6 per kg

BERNAMA


Terkejut dengan harga bawang putih yang dijual dengan harga RM6 sekilo?

Itulah yang berlaku di beberapa daerah di Kedah apabila harga bawang itu secara tiba-tiba melambung tinggi.

Tinjauan Bernama di daerah Baling dan Sik mendapati bawang putih dijual dengan harga RM5 dan RM6 sekilo berbanding RM2 harga asalnya.

Pemborong di pekan Baling, Abdul Razak Abdullah, 38, berkata pembekal telah menaikkan harga bawang putih kepada RM24 bagi beg 6kg.

"Sebelum ini kami membelinya dengan harga RM6 dalam beg 6kg itu dan kami pun terpaksalah menjual dengan harga yang mahal," katanya kepada Bernama.

Pembekal cuma memberikan alasan harga bawang putih telah naik katanya yang juga merupakan pembekal bawang putih kepada peniaga pasar malam di daerah Baling.

Seorang penjual bawang di Sik, Abdul Ghutus Mohd Bukhari berkata kenaikan harga bawang putih itu mungkin berpunca akibat permintaan yang tinggi ekoran ia dipercayai dapat mengelak jangkitan influenza A (H1N1).

"Saya yakin pembekal bawang putih mengambil kesempatan menaikkan harga bawang putih sejak akhir-akhir ini berikutan ramai orang memakannya bagi mengelak jangkitan selesema H1N1," katanya.

Sementara itu Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake) Datuk Yusuff Ismail berkata pihaknya masih belum menerima aduan rasmi pengguna mengenai kenaikan harga bawang putih itu.

"Kenaikan harga sehingga mencecah RM6 bagi sekilogram adalah sangat tidak patut dan dilihat sebagai menekan pengguna," katanya ketika dihubungi di Baling.

Cake akan merujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bagi menyelesaikan perkara itu, katanya.

Tiada ulasan: