HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 Ogos 2009

Kes culik anak guam murtad: Perintah reman terhadap peguam sah

MSTAR ONLINE


PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini memutuskan perintah reman yang dikeluarkan terhadap seorang peguam yang telah ditahan reman 11 tahun lepas kerana enggan mendedahkan lokasi anak guamnya yang didakwa telah murtad, adalah sah.

Hakim Datuk Md Raus Shariff yang mendengar kes itu bersamasama Datuk Sulong Mat Jeraie dan Datuk Ahmad Ma'arop berkata mereka sebulat suara memutuskan Mahkamah Tinggi telah membuat keputusan yang betul mengenai kesahihan perintah reman yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret.

Dalam mengenepikan rayuan Leonard Teoh Hooi Leong, Hakim Md Raus berkata Mahkamah Tinggi adalah betul semasa memutuskan perintah reman yang dikeluarkan terhadap Leonard adalah mengikut undang-undang.

Leonard, 68, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Johor Baharu yang menolak permohonannya untuk menyemak keputusan Mahkamah Majistret yang membenarkan permohonan polis untuk meremannya selepas beliau enggan mendedahkan lokasi anak guamnya, Nor'aishah Bokhari.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 19 Jan, 1998.

Nor'aishah yang kini berumur 37 tahun menggunakan khidmat Leonard untuk menasihatinya berhubung tindakannya menukar agama kepada Kristian selepas dia jatuh cinta dengan pemuda Cina kristian, dan atas arahannya, peguam itu telah menyediakan bagi pihaknya pengisytiharan statutori telah keluar agama Islam yang kemudiannya telah disahkan olehnya di hadapan Pesuruhjaya Sumpah pada 22 Oktober, 1997.

Pada 14 Januari, 1998, Mahkamah Majistret Pontian memerintahkan Leonard ditahan reman tujuh hari dan pada 20 Jan, 1998, perintah reman itu dilanjutkan tiga hari lagi.Beliau dibebaskan oleh polis pada 22 Jan, 1998.

Leonard, yang hadir di mahkamah, mempunyai satu lagi peluang untuk membawa kesnya iaitu melalui kaedah semakan selepas Mahkamah Rayuan pada 17 April, dalam kes bekas jururlatih olahraga kebangsaan C. Ramanathan, memutuskan mahkamah itu boleh menyemak keputusannya sendiri.

Peguam yang mewakili Leonard, Karpal Singh dan Ram Karpal Singh semasa ditanya mengenai perkara itu, berkata mereka masih belum membuat keputusan mengenai permohonan semakan itu tetapi sedang menimbangkannya.

Dalam afidavit untuk menyokong permohonannya untuk menyemak perintah reman itu, Leonard berkata beliau mewakili Nor'aishah dalam permohonan bagi habeas corpus terhadap ibu bapa, abang dan bapa saudara anak guamnya itu.

Katanya Nor'aishah tinggal bersama ibu bapanya di Pontian, Johor, semasa permohonan habeas corpus masih menunggu perbicaraan tetapi telah keluar dari rumah ibu bapanya pada malam 30 Disember, 1997.

Beliau berkata pada 1 Januari, 1998, beliau diarahkan oleh Nor'aishah untuk memulakan prosiding undangundang untuk menghalang ibu bapa, abang dan bapa saudaranya daripada mengganggunya dan diberikan arahan spesifik untuk tidak mendedahkan lokasinya kepada sesiapa.

Katanya, laporan polis kemudiannya dibuat dan beliau diminta memberikan kenyataan di ibu pejabat polis Daerah Dang Wangi.

Semasa beliau tiba di balai polis itu, beliau diminta mendedahkan lokasi Nor'aishah tetapi beliau enggan, mendakwa maklumat seperti itu adalah hak yang dilindungi mengikut Seksyen 126, Akta Keterangan 1950, katanya.

Leonard berkata beliau kemudian dimaklumkan oleh seorang pegawai polis yang beliau ditahan kerana membantu dan bersubahat dalam penculikan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan kemudiannya dihadapkan di Mahkamah Majistret pada 14 Januari, 1998.

Pada prosiding hari ini, Karpal berhujah perintah reman itu tidak mengikut undangundang dan penyalahgunaan kuasa mahkamah kerana ia merupakan kes penahanan peguam yang mewakili anak guamnya.

"Leonard direman selepas beliau enggan mendedahkan lokasi anak guamnya.

Berdasarkan fakta dan keadaan bahawa terdapatnya komunikasi terlindung antara Leonard dan Nor'aishah dan dengan itu perintah itu adalah melanggar undangundang," kata Karpal dan menurutnya mahkamah patut membenarkan rayuan bagi membersihkan nama Leonard.

Karpal juga berkata Mahkamah Rayuan pada 2002, semasa membenarkan permohonan Leonard untuk merayu telah menyatakan jika polis mahukan maklumat daripada peguam berhubung lokasi anak guamnya, terdapat cara lain dan untuk mereman Leonard adalah penyalahgunaan kuasa.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Bache berkata Leonard direman untuk membantu siasatan polis dalam kes penculikan Nor'aishah mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah dan keputusan majistret dibuat selepas meneliti keterangan pegawai penyiasat serta daripada diari penyiasatan polis.

"Jika mahkamah membenarkan rayuan ini, mahkamah akan membuka laluan kepada manamana orang yang telah direman untuk memohon semakan," katanya dan menurutnya hujah pihak pembelaan untuk membersihkan nama Leonard tidak sepatutnya dikemukakan di mahkamah itu tetapi perlu melalui tindakan sivil.

Peguam G.Ragumaran bertindak sebagai peguam pemerhati Majlis Peguam Malaysia.BERNAMA

Tiada ulasan: