HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 Ogos 2009

Peniaga kotorkan bazar Ramadan boleh dipenjara

BERNAMA


Peniaga bazar Ramadan di Perak yang tidak menjaga kualiti dan kebersihan makanan mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk dipenjarakan, kata pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Negeri Perak Datuk Dr Mah Hang Soon.

Beliau berkata semua peniaga dinasihatkan sentiasa menjaga kualiti makanan yang dijual bagi mengelak orang ramai yang membeli makanan itu mendapat sebarang penyakit.

"Mana-mana peniaga yang gagal mematuhi peraturan atau ingkar arahan dan peraturan penguatkuasa tempatan akan dikenakan kompaun maksimum RM5,000 atau penjara dua tahun," katanya kepada pemberita selepas melawat dan mengedarkan topi serta apron kepada peniaga bazar Ramadan di Stadium Indera Mulia di Ipoh hari ini.

Beliau berkata peniaga yang ingkar juga boleh dikenakan denda maksimum RM200 sekiranya didapati melanggar undang-undang kecil (penjaja makanan) seperti tidak memakai apron, tidak menjaga kebersihan diri dan kawasan gerai serta makanan tercemar.

Pasukan bergerak kesihatan akan mengadakan pemeriksaan kebersihan di setiap premis dan pengendalian makanan bagi memastikan semua peniaga mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan Makanan 1985, katanya.

Dr Mah berkata pasukan bergerak kesihatan yang dianggotai 126 orang itu akan membuat pensampelan makanan untuk memastikan makanan yang dijual adalah selamat.

Katanya operasi sepanjang bulan Ramadan itu akan turut diadakan di asrama sekolah di setiap daerah bagi memastikan kebersihan kantin serta dapur semasa penyediaan makanan untuk berbuka dan bersahur dengan pemeriksaan dapur asrama dilakukan dua kali seminggu.

Tiada ulasan: