Oleh:JASIN DAILY / Mutaligat
Melaka bakal jatuh ke tangan Pakatan Rakyat selepas Pilihanraya ke 13 nanti. Mungkin ramai yang beranggapan bahawa ianya adalah umpama angan-angan ‘Mat Jenin’ yang tidak mungkin menjadi kenyataan.
Malah penyokong dan pemimpin BN sudah pasti mentertawakan sesiapa sahaja yang mendakwa mereka akan kecundang pada Pilihanraya Umum akan datang.
Namun begitu pernah kita terbayang, Selangor dan Khir Toyo; Perak dan Tajol Rosli; Tsu Kon dan Pulau Pinang serta Kedah dan Mahdzir akan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat sebelum ini. Sudah tentu tiada siapa yang menduga selepas Pilihanraya Umum ke 12 semua negeri-negeri kuat BN itu akan bertukar pemerintah.
Begitu juga keadaannya dengan Johor dan Negeri Sembilan yang dikatakan tidak mempunyai ruang langsung untuk PAS menang walaupun dengan satu kerusi. Tetapi itulah yang berlaku. Apabila Johor dan Negeri Sembilan berjaya diteroka oleh PAS apabila PAS menang masing-masing 2 dan 1 kerusi DUN pada Pilihanraya Umum ke 12 lalu yang penuh dengan sejarah.
Maka tidak hairanlah semua perkara mustahil seperti itu juga bakal berlaku di Melaka. Pada Pilihanraya Umum ke 12 lalu, Pakatan Rakyat berjaya memenangi 5 kerusi DUN melalui DAP. 5 DUN yang dimenangi oleh DAP ialah Kesidang (YB Goh Leong San), Kota Laksamana (YB Betty Chew), Bandar Hilir (YB Tey Kok Kiew), Bachang (YB Lim Jak Wong) dan Ayer Keroh (YB Khoo Poay Tiong).
Dengan 5 kerusi yang sudah dalam tangan Pakatan hanya memerlukan 10 kerusi lagi untuk merampas negeri Melaka yang penuh sejarah ini. Apakah ini mustahil? 15 kerusi DUN sudah cukup bagi Pakatan Rakyat memperolehi majority mudah iaitu kelebihan 2 kerusi dari BN untuk memerintah Melaka yang mempunyai 28 kerusi DUN secara keseluruhannya. Jika Pakatan Rakyat memenangi 15 kerusi maka BN sudah tentu hanya mendapat 13 kerusi DUN sahaja.
Dari pengamatan pemerhati politik, Melaka juga akan mengalami perubahan iklim politik pada Pilihanraya Umum ke 13 akan datang. Ini berdasarkan kepada ‘mood’ rakyat keseluruhannya yang dilihat semakin hari semakin condong meyokong Pakatan Rakyat. Lebih-lebih lagi dengan kemenangan 7 kali berturut-turut Pakatan Rakyat pada pilihanraya kecil di Semenanjung Malaysia yang tempiasnya terkena kepada rakyat negeri Melaka.
Rakyat Melaka khasnya kaum Tionghua dan India semakin jelas menyokong Pakatan Rakyat sepertimana rakan-rakan dan saudara mara mereka di negeri-negeri lain. Jika senario seperti ini terus kekal hingga Pilihanraya Umum akan datang Pakatan Rakyat dijangka dengan mudah merampas kerusi DUN seperti Lendu, Machap, Bemban, Duyong, Klebang, Bukit Baru, Paya Rumput dan Merlimau yang mempunyai bilangan pengundi bukan Melayu yang melebihi 20 %. Dengan kerja kuat yang berterusan Pakatan Rakyat dijangka dapat merampas 2 lagi kerusi majorit Melayu yang lain.
Oleh itu hasrat dan cita-cita Pakatan Rakyat untuk merobohkan ‘khurafat’ (hanya BN yang boleh memerintah Melaka) di Melaka akan menjadi kenyataan.
Namun begitu gerakerja untuk menyedarkan rakyat Melaka tentang betapa pentingnya negeri Hang Tuah ini di perintah Pakatan Rakyat bukan suatu perkara yang mudah dan enteng. Seluruh jentera Pakatan Rakyat mesti bekerja kuat dari sekarang tanpa menoleh ke belakang.
Pakatan Rakyat Melaka juga mesti memantapkan perpaduan sesama mereka bagi memberikan gambaran kepada rakyat bahawa Pakatan Rakyat sudah bersedia untuk menerajui Negeri Melaka. Persepsi ini amat penting kerana selagi rakyat tidak yakin dengan kemampuan Pakatan Rakyat maka selagi itulah mereka tidak akan mengundi Pakatan Rakyat.
Gerakerja secara kolektif, terancang, interaktif, kreatif dengan komitment tinggi di kalangan ahli dan penyokong Pakatan Rakyat mesti dimulakan dengan segera tanpa berlengah.
Sejak akhir-akhir ini, Pakatan Rakyat Melaka dilihat mula menggerakkan jentera secara kolektif di mana banyak program-program bersama telah dijalankan. Antaranya gerakan mendaftar pengundi baru, ceramah bersama, program kebajikan rakyat secara bersama dan program turun padang bersama. Ini merupakan perkembangan sihat yang cukup menggerunkan BN Melaka.
Isu-isu tempatan yang begitu banyak sudah tentu boleh digunakan Pakatan Rakyat untuk menenggelamkan Ali Rustam dan kuncu-kuncunya. Isu paling besar yang sebenarnya memberikan kelebihan kepada Pakatan Rakyat ialah isu rasuah Ali Rustam, isu pembaziran kerajaan negeri, isu hutang lapuk kerajaan negeri, isu kronisme dan lain-lain sebenarnya belum dieksploitasi sepenuhnya oleh Pakatan Rakyat.
Rakyat Melaka juga mesti diberi kefahaman yang cukup tentang hasrat dan cita-cita Pakatan Rakyat untuk menubuhkan sebuah kerajaan yang mementingkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat. Contoh-contoh program dan aktiviti kerajaan negeri-negeri Pakatan Rakyat sekarang mesti diwar-warkan supaya rakyat negeri Melaka faham dan mengerti perbezaan antara pemerintahan Pakatan Rakyat yang mementingkan kebajikan rakyat dan pemerintahan kerajaan BN yang lebih mengutamakan tembolok pemimpin dan kroni-kroni mereka.
Dengan bantuan isu nasional dan antarabangsa maka tidak mustahil rakyat Melaka akan berubah dan beralih angin menyokong Pakatan Rakyat pada Pilihanraya Umum akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan