HALAMAN SANTAI

Isnin, 31 Ogos 2009

Anwar Seru Rakyat Tolak Provokasi

TV SELANGOR


Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas tindakan sekumpulan orang yang mengadakan tunjuk perasaan dengan berarak membawa dan memijak kepala lembu Jumaat lalu.

Datuk Seri Anwar berkata tindakan melampau kumpulan terbabit dengan sengaja menghina simbol suci penganut Hindu ini di khuatiri boleh menjejaskan hubungan antara kaum.

Beliau menegaskan setiap rakyat Malaysia perlu menghormati sensitiviti anutan agama setiap individu di negara ini seperti yang termaktub dalam Perlembagaan demi menjamin kesejahteraan semua pihak.

"Saya ingin tegaskan prinsip kita menghormati agama Persekutuan dan agama rasmi di negeri Selangor. Kita tetap memartabatkan, menghormati dan mengangkat martabat Islam, tetapi perlu hormati juga penganut agama lain," kata Anwar.

Dalam kejadian itu, sekumpulan 50 orang berhimpun di luar bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di Shah Alam sebagai membantah pemindahan sebuah kuil dari Seksyen 19 ke Seksyen 23 Shah Alam.

Mereka mengheret kepala seekor lembu ke pintu masuk bangunan SUK Selangor selepas solat Jumaat.

Pimpinan Pakatan Rakyat berkata Umno mendalangi tunjuk perasaan tersebut, yang bertujuan menghasut orang Melayu untuk membantah pemindahan kuil itu dari Seksyen 19 ke seksyen 23.

Tapak baru itu adalah kira-kira 200 meter jauh dari kawasan perumahan. Tapak lama kuil itu di seksyen 19 adalah hanya 20 meter dari kawasan perumahan.

Sambil melaung-laungkan kata-kata berbentuk ugutan dan hasutan, penunjuk perasaan terbabit memijak dan meludah kepala lembu berkenaan. Unit Simpanan Persekutuan yang dikerah ke sini tidak mengambil sebarang tindakan.

Menyuarakan kehampaan beliau, Anwar menyifatkan tunjuk perasaan ini tidak bertamadun dan condong kepada provokasi.

Ketua Pembangkang itu juga melahirkan rasa kesalnya apabila UMNO Barisan Nasional tidak henti- hanti melancarkan siri merampas Selangor, menggunakan cara kotor.

"Matlamat merampas Selangor dibuat dengan pelbagai cara. Sebelum ini mereka menggunakan institusi kerajaan, polis dan suruhanjaya pencegahan rasuah malaysia. Kononnya untuk bebaskan negeri dari rasuah. Rasuah besar boleh ditutup walaupun boleh dihidu, tetapi hal-hal membabitkan wakil rakyat Pakatan Rakyat diperbesarkan," kata Anwar.

Sehubungan itu, beliau berharap rakyat negeri Selangor bersikap rasional dan menilai dengan cara yang matang.

Anwar merayu rakyat Selangor untuk menolak politik yang mengapi-apikan sentimen keagamaan dan perkauman.

Tiada ulasan: