Harakahdaily
KUALA LUMPUR - Walaupun selepas memecat Timbalannya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat sepatutnya boleh tidur lena malam tadi, tetapi belum tentu beliau dapat menikmatinya.
Ketika Ong mempengerusikan mesyuarat memecat Chua di ibu pejabat MCA malam semalam, pada sebelah paginya satu laporan polis dibuat ke atas beliau oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB), Datuk Seri Tiong King Sing.
Tidak cukup dengan itu, dalam pemberontakan terbuka terhadap beliau, pada sebelah petangnya, enam MCA bahagian di Perak iaitu bahagian Bagan Datoh, Kampar, Tambun, Batu Gajah, Ipoh Timor dan Ipoh Barat menuntut Ong digantung dari parti yang dipimpinnya itu.
Malam tadi, Majlis Presiden MCA menerima cadangan Jawatankuasa Disiplin parti itu untuk memecat keahlian Timbalan Presidennya, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkuat kuasa serta merta.
Presidennya, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, keputusan sukar itu terpaksa dibuat kerana cakera padat digital (DVD) skandal seks Chua yang tersebar sebelum ini telah merosakkan imej parti.
Mengulas tindakan pemecatan itu dalam blognya, Chua berkata: "Sekarang saya telah dipecat, saya harap beliau (Ong) boleh tidur lena". Image
Ketika mesyuarat untuk memecatnya akan diadakan, Chua tiba di ibu pejabat MCA. Bagaimanapun, beliau tidak dibenarkan hadir ke mesyuarat itu kerana beliau adalah pihak yang berkepentingan.
Ketika diminta menjangkakan keputusan mesyuarat itu oleh para wartawan, Chua memegang lehernya dan tiga kali berkata, "Gantung mati".
Menurut beliau, sejak pemilihan parti Oktober tahun lalu, Ong "melihatnya sebagai musuh ketat dan ancaman paling besar."
Dalam pemilihan itu, Chua mencipta kejutan apabila beliau yang terpaksa melepaskan jawatan dalam parti dan kerajaan ekoran skandal video seks berjaya menewaskan tiga calon lain untuk memenangi jawatan Timbalan Presiden.
Beliau memperoleh 1,115 undi untuk mengatasi Datuk Seri Ong Ka Chuan (1,001 undi), Datuk Donald Lim Siang Chai (209) dan Lee Hack Teik (10 undi).
Selepas kemenangannya itu, Chua melihat usaha-usaha untuk menyingkirkannya menjadi "agenda utama" Ong.
"Presiden MCA telah menggariskan tiga agenda utama parti (iaitu), ekonomi, politik dan keharmonian antara kaum. Tetapi hakikatnya, penyingkiran Chua Soi Lek kelihatan menjadi agenda beliau yang paling penting," kata beliau.
Ahad lalu, bekas Naib Presiden MCA yang kini menyertai PKR, Datuk Chua Jui Meng mengaitkan krisis MCA itu dengan agenda Umno.
Menurut beliau, khabar angin yang tersebar luas di dalam Barisan Nasional (BN) mendakwa bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak berpuas hati melihat Ong menjadi Presiden MCA dan lebih suka Chua memimpin parti itu.
Beliau mendakwa, Umno tidak puas hati dengan dengan cara Ong yang juga Menteri Pengangkutan mendedahkan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
Jika didedahkan skandal itu, dakwa beliau lagi, ramai pemimpin Umno yang terlibat.
Dakwaan itu tampil selepas dakwaan Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Datuk Tee Lian Ker baru-baru ini bahawa ramai tokoh Umno dan MCA berada dalam "payroll" Ketua Pegawai Eksekutif KDSB yang menjadi pemaju PKFZ.
Skandal PKFZ sebelum itu semakin panas apabila Tiong mendakwa Ong menerima RM10 juta darinya.
Ketika bertindak balas terhadap dakwaan itu, Ong membuat laporan polis, mengemukakan saman RM500 juta terhadap Tiong serta melemparkan tuduhan terhadapPengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) itu.
Tuduhan tersebutlah yang mendorong Tiong mengemukakan laporan polis terhadap Ong semalam.
Tiong yang juga Ahli Parlimen Bintulu juga dipercayai menyerahkan beberapa dokumen kepada polis, yang dijangka menjadi bukti penting kepada dakwaan bahawa Ong menerima RM10 juta darinya.
Wang itu dikatakan diserahkan secara berperingkat-peringkat di Hotel PJ Hilton di Petaling Jaya. _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan