HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 Ogos 2009

Ceramah di tempat persendirian sah

SINAR HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR – Parti Pas semalam memberi peringatan kepada pihak polis bahawa sebarang bentuk ceramah di premis parti atau premis persendirian yang lain adalah sah dan tidak memerlukan sebarang permit polis.

Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli berkata demikian selepas Mahkamah Tinggi Kuantan menerima saman yang dibuatnya terhadap Ketua Polis Daerah Rompin, Hanafi Daud kerana menahan beliau kononnya mengadakan ceramah tanpa permit.

“Saya tegaskan di sini bahawa ceramah-ceramah di premis persendirian tidak memerlukan sebarang permit tetapi dengan syarat ia tidak menimbulkan masalah keselamatan negara,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Pas di sini, semalam.

Pada 10 Jun 2004 lalu, Dr Hatta yang ketika itu Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat bersama Mazlan Mohd Yassin dan Nazri Ahmad ditahan polis dalam satu majlis ceramah yang diadakan di Markas Pas Bandar Muadzam Shah dan ditahan di lokap polis Rompin selama 12 jam.

Semalam, Hakim Datuk Mariana Yahya memutuskan bahawa ceramah yang diadakan oleh Pas Kawasan Rompin di sebuah rumah yang dijadikan Markas Pas adalah sah walaupun tidak memperolehi permit polis.

Oleh yang demikian beliau mendapati polis telah melakukan pencerobohan premis persendirian tersebut dan penangkapan Dr Hatta dan dua yang lain adalah salah.

“Polis kena faham undang-undang sebelum melaksanakan undang-undang,” katanya.

Tiada ulasan: