HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 Ogos 2009

Kahar bersikap bacul

Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad


KUALA LUMPUR: “Haji Kahar (Ketua Ajaran Sesat Haji Kahar) yang menghilangkan diri sejak beberapa bulan lalu, dianggap pengecut dan bacul apabila sanggup membiarkan pengikut setianya meringkuk dalam penjara hanya kerana mahu menyebarkan risalah menuntut lima dakwaan terhadap ketuanya digugurkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais),” kata Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohamad Khusrin Munawi, semalam.

Beliau berkata, sebagai seorang ketua yang kononnya mempunyai ‘kuasa’, dia (Haji Kahar) sepatutnya bukan saja tampil bagi membela pengikutnya tetapi bersedia menghadapi perbicaraan di mahkamah.

Tetapi, katanya, apa yang berlaku ketua ajaran sesat itu bukan saja seorang penakut tetapi sanggup membiarkan pengikutnya meringkuk beberapa bulan di dalam penjara serta tidak sanggup berdepan pihak berkuasa.

“Pengikut setia ketua ajaran sesat itu meringkuk di penjara selepas didapati bersalah mengedar risalah menuntut lima pertuduhan terhadap Haji Kahar digugurkan di bahagian pendakwaan Jais.

“Pengikutnya menempah padah untuk berdepan dengan mahkamah sehingga meringkuk di penjara, tetapi apa yang memalukan apabila ketuanya masih bebas walaupun dikeluarkan 10 waran tangkap kerana ingkar arahan mahkamah menghadiri perbicaraan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Ketua ajaran sesat itu atau nama sebenarnya, Abdul Kahar Ahmad Jalal, 59, menjadi buruan pihak berkuasa Jais selepas gagal hadir di mahkamah rendah syariah bagi menghadapi lima pertuduhan berkaitan kegiatan dijalankan sejak beberapa tahun lalu.

Paling menggemparkan, walaupun kelibatnya tidak kelihatan tetapi mampu mencabar pihak berkuasa apabila ada pengikut setia mengedarkan risalah di pejabat Jais menuntut agensi agama itu menggugurkan dakwaan terhadapnya.

Abdul Kahar dihadapkan ke mahkamah syariah pada 27 Julai 2005 terhadap lima tuduhan mengikut Seksyen 7, 8(a), 10(b), 12 dan 13, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1985.

Mengulas lanjut mengenai kesukaran menahan ketua ajaran sesat itu, Mohamad Khusrin berkata, pelbagai usaha dilakukan termasuk meminta bantuan polis dan ganjaran RM10,000 kepada sesiapa yang memberikan maklumat bagi menahan lelaki terbabit, tetapi masih belum mendatangkan hasil yang boleh dibanggakan.

Menurutnya, perbincangan dengan pegawai kanan polis mengenai kegiatan dan kelicikan lelaki terbabit memang sudah dilakukan tetapi setiap serbuan di lokasi sasaran gagal.

Tiada ulasan: