HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Ogos 2009

Merdeka: Apakah percikan bunga api boleh kembalikan keyakinan rakyat?

Azamin Amin


KUALA LUMPUR : Bukan kibaran bendera, nyanyian lagu, percikan bunga api, perarakan, ciptaan logo dan slogan yang utama tetapi bebas dan merdeka dari sebarang penindasan yang mencengkam minda, hak-hak dan keadilan sama rata menjadi harapan rakyat sejak 52 tahun yang lalu.

Dengan belenggu kemiskinan, jurang antara kaya dan miskin semakin melebar, gaji sedikit harga barang meningkat, jenayah bercambah, gejala keruntuhan akhlak makin menjadi dan kualiti kesihatan yang bertambah buruk lantaran penularan wabak terbaru, menjadikan rakyat makin resah gelisah mendiami negara tercinta ini.

Bukan itu sahaja, gelodak runsing rakyat, makin terpampang tatkala api perkauman mula dinyalakan, mula mengusik batas agama,hak-hak kebebasan bersuara dinafikan, cakaran politik di sana sini, agensi-agensi penguatkuasaan yang sudah hilang intergriti dan aneka keserabutan menjadikan 'Merdeka' tidak mempunyai erti, sama seperti tahun-tahun sebelumnya.

Bagi Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, kemerdekaan perlu kepada satu anjakan baru yang lebih meyakinkan rakyat dan mendemokrasikan negara dalam erti kata sebenarnya.

"Saya akui ada peningkatan kemudahan asas dan pembangunan fizikal memang wujud namun itu tidak cukup.

"Yang menjadi virus kepada negara ialah intergriti,di mana rakyat semacam hilang kepercayaan kepada pemimpin dan kerajaan. Ini perubahan yang perlu dilakukan," jelasnya kepada Harakahdaily pagi ini.

Katanya keadaan yang tidak kondusif seperti agensi penguatkuasaan umpama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis yang semakin diragui menunjukkan bahawa 'perjuangan kewibawaan' ini masih belum selesai.

"Intergriti mesti dibaik pulih, keamanan sahaja tidak cukup untuk memacu pembangunan ekonomi, sosio politik. Mesti ada perpaduan dan iltizam.

"Akta-akta draconian seperti ISA mesti dimansuhkan dan penegasan terhadap penyelewengan yang terpilih seperti melibat kepimpinan negara perlu didedahkan dan dikenakan tindakan," katanya yang juga Chief Komandan Himpunan Mansuhkan ISA

Awal bulan ini, lebih 100,000 rakyat berhimpun secara aman membantah dan menggesa kerajaan memansuhkan ISA yang zalim dan menganiaya rakyat tanpa bicara.

Sebelum itu 7 Mac lalu, rakyat turut 'bangkit' menentang dasar kerajaan melalui PPSMI yang meminggir bahasa kebangsaan dan menyebabkan pelajar semakin tercicir, dan ibu kota menjadi saksi ratusan ribu rakyat menunjukkan solidariti.

Dalam kedua-dua isu itu atau apa yang didakwa sesetengah pihak bahawa pembangkang mencetuskan suasana tidak senang itu, Salahuddin menjelaskan kedudukan sebenar peranan semak dan imbang (Check and balance) yang dilakukan oleh pihak mereka.

"Peranan pembangkang bukan bersifat pengacau atau pencetus huru hara negara tetapi lebih bersifat "memulakan suatu langkah hari ini, bagi membekalkan perkara yang lebih baik kepada generasi akan datang,"katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Lain pula pandangan Pengarah Strategik KeADILan, Tian Chua yang melihat penindasan dan penjajahan bentuk baru sedang berlaku dalam negara ini.

"Kalau dulu penindasan datangnya daripada penjajah dan kini penjajah masih wujud dengan mekanisme yang sama cuma 'tukar kulit' sahaja.

"Merdeka tulen ialah apa yang dimimpikan dan apa yang diperjuangkan oleh pejuang-pejuang zaman dahulu iaitu bebas daripada penindasasn, boleh menjadi pemilik harta kekayan negara," jelasnya.

Kini negara katanya, mengalami kemerosoton dari segi hak asasi kepada rakyat dan pelbagai institusi yang 'check and balance' sudah hilang peranannya.

"Tiada banyak yang berubah kecuali Pilihan Raya Umum ke-12 menunjukkan kebangkitan rakyat yang tidak puas hati dengan kerajaan dan pemimpin yang sedia ada

Berkaitan slogan yang dicanangkan katanya aianya tidak lebih kepada slogan ubah suai setiap pemipin yang jadi Perdana Mneteri malah rakyat sendiri tidak faham apa makna 1Malaysia, Wawasan 2020 dan Islam Hadhari

"Saya berharap rakyat terus maju, dan rakyat boleh rasa bangga menjadi rakyat Malaysia dan mempunyai rasa 'sense of belonging' dan menjadi bangsa yang berdaulat." kata Ahli Parlimen Batu itu.

Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S.Arutchelvan pula berpendapat semenjak 52 tahun negara merdeka jurang pendapatan kaya dan miskin semakin melebar dari tahun ke tahun dan jurang pendapatan negara yang kedua terbesar di Asia.

"Kita bercakap soal hak dan rakyat menikmati kekayaan negara, tetapi hanya segelintir golongan sahaja yang kaya.

"Sepatutnya kerajaan mesti memberi perhatian kepada isu-isu berhubung akta gaji minima, polisi tanah-tanah untuk petani dan membela nasib rakyat golongan berpendapatan rendah," katanya.

Baginya, walaupun slogan Perdana Menteri iaitu 'rakyat didahulukan , pencapaian diiutamakan' adalah baik tetapi implementasinya yang perlu diambil kira.

"Satu Malaysia yang diuar-uarkan tidak mengambarkan apa yang terjadi terhadap institusi yang melindungi rakyat seperti SPRM yang jelas wujud pilih kasih.

"Media masih dikongkong dan ISA, OSA dan pelbagai akta yang mencengkam masih wujud. Yang penting dalam mengisi kemerdekaan ialah kebebasan hak rakyat itu ditunaikan dan kesaksamaan itu mesti diutamakan," katanya. - mks. _

Tiada ulasan: