HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Ogos 2009

Kilang buat bahan letupan disiasat

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Polis memeriksa kilang membuat bahan letupan di Batu Arang, Rawang berhubung penemuan lima bungkusan bahan letupan dan peledak di penempatan haram pendatang di Bukit Kiara, baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata ia bertujuan mengesan pembeli bahan letupan itu dan tujuan kegunaannya, sekali gus membantu siasatan kes itu.

“Kita siasat pembuatnya. Kilang ada simpan senarai pembeli untuk tujuan rekod. Tapak kuari berhampiran turut diperiksa.

“Kita percaya maklumat yang diperoleh daripada pemeriksaan ini boleh membantu siasatan,” katanya di sini, semalam.

Beliau sebelum itu mewakili Polis Diraja Malaysia pada majlis penyerahan sumbangan raya kepada pasukan keselamatan oleh Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti).

Ia disampaikan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang juga Yang Dipertua Bakti.

Dalam serbuan jam 3 petang 21 Ogos lalu, polis menemui bungkusan bahan letupan itu disembunyikan di bawah lantai kayu satu daripada empat rumah kongsi di kawasan hutan Bukit Kiara View, Desa Sri Hartamas.

Turut ditemui berpuluh senjata tajam di kawasan yang dipercayai dihuni lebih 110 pendatang.

Polis kini memburu dua warga Indonesia berketurunan Flores yang dipercayai pemilik bom berkenaan untuk siasatan lanjut.

Tiada ulasan: