HALAMAN SANTAI

Isnin, 31 Ogos 2009

Perjuangan Kemerdekaan belum selesai -Presiden PAS

Khairul Azlam Mohammad & Nazri Abdullah


KUALA TERENGGANU : PAS akan meneruskan perjuangan memerdekakan rakyat di negara ini yang dianggap "masih belum selesai" khususnya dalam berdakwah memperbetul akidah mereka.

Manusia khususnya penganut agama Islam di negara ini belum merdeka jika masih tunduk dan mengabdikan diri kepada makhluk bukannya kepada Allah SWT.

Kefahaman ini penting supaya maksud sebenar merdeka tidak di salah erti sebagai pembebasan dari kuasa penjajahan barat semata mata.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam perutusannya sempenan Kemerdekaan berkata, erti merdeka pada Islam adalah kejayaan membebaskan aqidah (pegangan) dari mengabdikan diri kepada makhluk kepada pengabdian diri kepada Allah SWT.

Menurutnya, perjuangan itulah yang dipikul oleh Nabi Muhammad SAW sepanjang hayat baginda. Dan sesiapa yang berjaya membebaskan diri mereka dari perkara tersebut, dialah yang sebenarnya merdeka.

"Kita menentang penjajah asing bukan kerana nama asingnya. Tetapi kerana mereka membawa satu fahaman yang mengabdikan diri kepada makhluk dan bukan mengabdikan diri kepada Allah SWT. Kita halau mereka bukan kerana nama dia asing tetapi kerana mereka membawa suatu ajaran sesat yang menyeleweng dari petunjuk Allah SWT."

"Pembebasan Mekah bukan kerana dijajah oleh penjajah asing Rom dan Parsi. Tetapi dijajah oleh Jahiliah Arab dari kalangan kaum keluarga Nabi SAW sendiri, sehingga Mekah dibebaskan dan itulah kemerdekaan sebenar." ujarnya ketika menyampaikan perutusan khas sempenan hari kemerdekaan negara ke 52 malam tadi.

Dalam keadaan negara sekarang ujarnya, warisan jahiliah dilihat terus menyubur dalam diri masyarakat dalam negara ini. Tidak kira dalam aspek pentadbiran, kehidupan sosial harian, ekonomi mahupun politik, budaya jahiliah katanya seolah olah tidak ditelan zaman cuma bezanya ia dipraktik secara moden.

Sehubungan itu, perjuangan kemerdekann katanya belum lagi selesai. Parti Islam Se-Malayisa (PAS) tambahnya tidak akan berhenti menyambung perjuangan memerdekakan masyarakat seperti yang telah ditunjukkan oleh baginda Rasulullah SAW.

"Walaupun negara kita dikatakan telah mencapai kemerdekaan sejak 52 tahun dahulu, tetapi warisan penjajah masih lagi wujud, bertapak dan berakar umbi di dalam masyarakat kita. Oleh kerana itu, kita menganggap isu perjuangan kemerdekaan belum lagi selesai."

"PAS akan terus berjuang untuk membawa kemerdekaan yang sebenarnya. Iaitu membebaskan diri manusia dari mengabdikan diri sesama manusia, sama ada berbentuk ideologi, teori dan sebagainya ataupun kepimpinan yang berlagak mengadakan peraturan sendiri dalam perkara yang tidak diizinkan oleh Allah SWT." tegasnya.

Teks ucapan penuh

PERUTUSAN KHAS PRESIDEN PAS SEMPENA HARI KEMERDEKAAN KE-52

Bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-52 Kemerdekaan Negara, bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS) suka saya mengulangi bahawa pemimpin-pemimpin ulung PAS adalah golongan yang pertama melibatkan diri dengan perjuangan kemerdekaan negara ini.

Mereka menjadi mangsa kezaliman di zaman penjajah. Ketika itu, banyak di kalangan pemimpin negara kita (Umno) bersekongkol dengan penjajah menjadi pegawai-pegawai mereka.

Namun kita tidak menyerah kalah. Kita adalah yang pertama memperjuangkan kemerdekaan (yang) merupakan mata rantai perjuangan sejak kedatangan Islam yang membawa kemerdekaan sebenar.

Kemerdekaan yang dibawa oleh Nabi Muhamad SAW ialah pembebasan manusia daripada mengabdikan diri kepada makhluk kepada hanya mengabdikan diri kepada Allah SWT. Itulah makna kemerdekaan yang sebenar.

Oleh kerana itu, Nabi kita Muhamad SAW dalam perjuangannya yang pertama menentang jahiliah Arab. Bukan jahiliah bangsa lain sehingga berjihrah ke Madinah mendirikan Negara Islam.

Sebuah Negara yang berlandaskan kepada pengabdian diri kepada Allah Ta'ala yang membawa keadilan mutlak kepada seluruh manusia.

Bukan sahaja kepada penganut Islam bahkan, juga kepada penganut-penganut agama lain yang bernaung di bawah pemerintahan Islam. Selepas itu, Nabi kita Muhamad SAW datang ke Mekah untuk membebaskan Mekah daripada kuasa jahiliah.

Pembebasan Mekah bukan kerana dijajah oleh penjajah asing Rom dan Parsi. Tetapi dijajah oleh jahiliah Arab dari kalangan kaum keluarga Nabi SAW. Sehingga Mekah dibebaskan dan itulah kemerdekaan sebenar.

Dan 'obor' kemerdekaan inilah yang dibawa oleh Rubi'e bin Amer kepada Rostum iaitu panglima tentera Parsi dengan kenyataan Rub'ie yang terkenal.

Kata Rubi'e, "Kami mengajak sesiapa yang mahu kepada satu gagasan dasar dan konsep daripada mengabdikan diri kepada manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah. Daripada kezaliman ajaran pelbagai-bagai agama, teori dan pendekatan ciptaan manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah SWT. Daripada dunia yang sempit kepada wawasan dunia sehingga hari akhirat".

Itulah kemerdekaan yang dibawa oleh Nabi Muhamad SAW. Kemerdekaan inilah yang didokong oleh perjuangan Islam termasuk Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Kita menentang penjajah asing bukan kerana nama asingnya. Tetapi kerana mereka membawa satu fahaman yang mengabdikan diri kepada makhluk dan bukan mengabdikan diri kepada Allah SWT. Kita halau mereka bukan kerana nama dia asing tetapi kerana mereka membawa suatu ajaran sesat yang menyeleweng dari petunjuk Allah SWT.

Walau pun, negara kita telah dikatakan mencapai kemerdekaan sejak 52 tahun tetapi warisan penjajah masih lagi wujud. Bertapak dan berakal umbi di dalam masyarakat kita.

Oleh kerana itu, kita menganggap isu perjuangan kemerdekaan belum lagi selesai.

PAS akan terus berjuang untuk membawa kemerdekaan yang sebenarnya. Iaitu membebaskan diri manusia dari mengabdikan diri sesama manusia, sama ada berbentuk ideologi, teori dan sebagainya atau pun kepimpinan yang berlagak mengadakan peraturan sendiri dalam perkara yang tidak diizinkan oleh Allah SWT.

Untuk mengajak mereka membebaskan diri daripada itu semua kepada Islam yang membawa kepada kemerdekaan yang sebenar dan itulah dasar serta konsep kemerdekaan yang kita bawa selama ini.

Sekian, Wassalam_

Tiada ulasan: