HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Ogos 2009

Nenek jual makanan ringan sara lima cucu

Oleh Wan Faizal Ismayatim


BACHOK: Kasih sayang seorang nenek kepada lima cucunya yang kematian ibu mereka angkara kekejaman peragut bermotosikal pada Mei lalu, mendorong seorang warga emas berusia 65 tahun berjalan kaki lebih dua kilometer setiap hari sepanjang Pantai Melawi, di sini, semata-mata menjaja makanan ringan bagi menyara kehidupan.

Warga emas, Kalsom Saad, yang lebih dikenali sebagai Mek Som, dari Kampung Kuala Gel, Melawi, menjual makanan ringan terbabit kepada pengunjung pantai berkenaan setiap petang dengan keuntungan cuma 20 sen bagi setiap paket makanan yang dapat dijual.

Sejak kematian suaminya akibat sakit tua kira-kira dua tahun lalu, Kalsom turut mengambil upah membersihkan chalet sekitar Pantai Melawi bagi menampung hidup, sebelum membuat keputusan menjual makanan ringan bagi menambah pendapatan bagi menyara lima cucu termasuk tiga yang bersekolah.

"Saya jual makanan ringan ini sebab nak jaga cucu... saya tak kisah walaupun terpaksa berjalan jauh setiap hari kerana yang penting dapat menambah pendapatan. Syukur, saya masih kuat dan tiada masalah kesihatan," katanya ketika ditemui di pantai itu.

Pada 6 Mei lalu, menantu Kalsom, Saripah Mohd Nor, 31, yang sedang hamil anak keenam, maut selepas tercampak dari motosikal apabila beg tangannya yang berisi wang tunai RM2, diragut dua lelaki bermotosikal sebelum mangsa yang terjatuh dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di Padang Raja, Melor.

Kalsom berkata, beliau sanggup bermandikan peluh menjual makanan ringan berkenaan kerana anaknya, Mohd Zani Awang, 39, yang juga bapa kepada lima cucunya itu cuma bekerja sebagai tukang rumah dan mempunyai pendapatan bulanan yang tidak menentu.

"Walaupun anak saya turut membantu, ia tidak cukup bagi membeli barang keperluan dapur dan menyara persekolahan tiga anaknya, saya terpanggil untuk menjalankan kerja ini bagi memastikan semua cucu saya dapat hidup lebih selesa.

"Nak kata susah tu, memanglah... tapi nak buat macam mana, lagipun lima cucu saya itu sudah tidak mempunyai ibu, jadi apabila bapa mereka keluar bekerja, sayalah yang bertanggungjawab menjaga mereka," katanya yang turut memasak serta menyiapkan cucunya ke sekolah.

Kalsom berkata, beliau mendapatkan bekalan makanan ringan berkenaan daripada penduduk kampung yang mengusahakan produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) itu di Kampung Kuala Rekang, di sini, sebelum menjualnya kepada pengunjung Pantai Melawi dengan pendapatan tidak menentu.

"Pendapatan saya ni susah nak cakap, kalau cuti hujung minggu tu banyaklah sikit, bolehlah dapat sekitar RM30 sebab pengunjung ramai. Tapi kalau hari biasa tu tak banyak sebab orang pun tak ramai datang ke sini," katanya.

Tiada ulasan: