HALAMAN SANTAI

Sabtu, 29 Ogos 2009

Patriotisme rakyat masih rendah

UTUSAN ONLINE


JELEBU - Datuk Seri Dr. Rais Yatim kesal dengan tahap patriotisme rakyat yang masih rendah sehinggakan 'hendak membeli sehelai bendera pun tidak mampu'.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu agak kecewa kerana rata-rata rakyat Malaysia masih mengharapkan kerajaan memberi bendera percuma untuk menunjukkan semangat cintakan negara sempena Hari Kemerdekaan.

''Apa yang dikesalkan, ramai yang mampu membeli rokok pada harga RM6.80 sekotak, tetapi keberatan mendapatkan sehelai bendera kecil yang berharga tidak lebih daripada RM3.

''Agihan bendera secara percuma memanglah boleh dilakukan sesekali, tetapi apa yang lebih penting, kita haruslah menyemai semangat cintakan negara dalam keluarga masing-masing," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan untuk mangsa-mangsa banjir di Kampung Triang, Kampung Petaling dan Kampung Gagu di sini hari ini.

Mengulas mengenai sambutan Hari Kemerdekaan ke-52 yang akan dibuat secara sederhana akibat penularan wabak H1N1 serta menghormati Ramadan, beliau menjelaskan sambutan tersebut akan dijalankan seperti biasa.

''Cuma malam itu kita akan menyambutnya melalui upacara keagamaan. Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin akan bersama rakyat di masjid.

''Sementara itu, bagi penganut agama Kristian akan diketuai oleh Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok dalam satu upacara lain di sebuah gereja di Kuala Lumpur," jelas beliau.

Bagi penganut agama Buddha pula, Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat akan mengetuai upacara sembahyang di tokong mereka, manakala Setiausaha Agung MIC, Datuk Dr. S. Subramaniam mengetuai kaum Hindu.

Tambah beliau, ketiga-tiga kaum terbesar ini disarankan agar berdoa mengikut kepercayaan masing-masing supaya negara sentiasa sejahtera dan teguh pada masa akan datang.

''Ini kali pertama sambutan Hari Kemerdekaan menumpukan kepada aspek keagamaan dan akan diteruskan pada tahun-tahun yang akan datang," ujar beliau.

Tiada ulasan: