HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Ogos 2009

Pertubuhan belia berkubur jika tiada ahli baru

UTUSAN ONLINE


KUANTAN - Pertubuhan Gerakan Belia 4B akan lumpuh dan berkubur sekiranya tiada usaha kepada pengambilan ahli-ahli baru termasuk mengadakan program berkaitan secara aktif.

Sehubungan itu, bekas Naib Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Datuk Faisal Abdullah berkata, aktiviti berterusan perlu dijadikan teras kepada pertubuhan belia kerana ia bukan sekadar menonjolkan peranan mereka dalam masyarakat, tetapi juga menarik minat belia lain untuk menjadi ahli.

''Jika senario (tiada usaha pengambilan ahli baru) itu berlaku, pertubuhan belia pada masa akan datang dilihat tidak lagi relevan dalam memenuhi kehendak generasi muda,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pertama Gerakan Belia 4B Kawasan Indera Mahkota di sini semalam.

Menurut Faisal, peranan pertubuhan belia tidak boleh sekadar menjadi organisasi yang statik dan bergerak atas dasar subsidi kerajaan semata-mata.

''Sebaliknya, belia perlu membuatkan pertubuhan itu lebih dinamik kerana generasi muda yang diberi peluang menerajuinya pada waktu ini masih kaya dengan idea baru berbanding generasi pimpinan veteran terdahulu.

''Jika tiada pendekatan baru untuk memenangi jiwa belia yang semakin tinggi mindanya pada ketika ini, pasti pertubuhan itu akan kehilangan ahli dan seterusnya berkubur bila ahli sedia ada melebihi umur 40 tahun dan hilang kelayakan untuk aktif dalam pertubuhan belia," ujarnya.

Dalam pada itu, pada majlis yang sama, beliau turut mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Naib Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia dan Pengerusi 4B bagi kawasan Indera Mahkota berikutan pelaksanaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 yang berkuat kuasa tahun ini.

Melalui akta berkenaan, pemimpin pertubuhan belia yang melebihi umur 40 tahun secara automatik hilang kelayakan untuk mempertahankan jawatan mereka.

Sementara itu, pengerusi baru bagi kawasan Indera Mahkota, Nazarudin Abu Hashim berkata, peranan veteran belia tetap tidak dilupakan sebagai sumber rujukan oleh kepimpinan muda dalam menerajui Gerakan Belia 4B.

"Dalam mencorak mentaliti dan aspirasi baru golongan belia, pastinya tunjuk ajar daripada kepimpinan lama diperlukan terutama dalam mengukuhkan sesuatu pertubuhan belia bagi melahirkan lebih ramai pemimpin muda.

"Sememangnya, Gerakan Belia 4B adalah landasan belia yang telah terbukti berjaya melahirkan ramai pemimpin negara kerana ciri kepimpinan itu berjaya dibentuk melalui aktiviti dan pengisian daripada program yang diadakan," katanya yang menang tanpa bertanding.

Tiada ulasan: