HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 Ogos 2009

Khalid: Umno dalangi demo heret kepala lembu

TV ANTARA


Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad menegaskan anasir-anasir Umno mendalangi tunjuk perasaan sekumpulan orang yang mengheret kepala lembu untuk membantah tapak baru sebuah kuil di Shah Alam.

Lembu adalah binatang suci dalam agama Hindu.

Tunjuk perasaan berkenaan bertujuan menghasut orang Melayu untuk membantah pemindahan kuil itu dari Seksyen 19 ke seksyen 23. Tapak baru itu adalah kira-kira 200 meter jauh dari kawasan perumahan.

Tapak lama kuil itu di seksyen 19 adalah hanya 20 meter dari kawasan perumahan.

Dalam kejadian , kira-kira 50 orang, bertindak mengheret kepala seekor lembu ke pintu masuk bangunan setiausaha kerajaan negeri Selangor selepas solat Jumaat.

" Ini saya persalahkan pihak UMNO walaupun orang yang ambil peranan dalam tunjuk perasaan itu berkata mereka bukan dari UMNO, tapi saya kenal mereka. Mereka memang UMNO, kita tahu, oleh kerana mereka itu dari UMNO, itulah sebabnya mereka dibenarkan melakukan tindakan-tindakan yang keterlaluan ini, " kata Khalid.

"Sepertimana yang saya katakan sebelum ini dan semalam menjadi kenyataan, UMNO merosakkan Melayu dan merosakkan imej Islam," tambah beliau.

Sambil melaung-laungkan kata-kata berbentuk ugutan dan hasutan, penunjuk perasaan terbabit memijak dan meludah kepala lembu berkenaan. Unit Simpanan Persekutuan yang dikerah ke sini tidak mengambil sebarang tindakan.

" Sebagai Ahli Parlimen Shah Alam saya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan yang dilakukan oleh segelintir 40 hingga 50 orang dan saya menafikan dengan sekeras-kerasnya tindakan mereka mewakili orang Islam atau pun orang Melayu," kata Khalid.

"Ini merupakan satu tindakan yang bercanggah dengan ajaran Islam itu sendiri supaya kita menghormati agama orang lain, jangan kita memperlekeh dan memperkecil kepercayaan orang lain. Ianya amat malang dilakukan dalam bulan Ramadhan selepas sembahyang Jumaat," tambahnya.

Exco Kerajaan Negeri Ronnie Liu percaya tunjuk perasaan itu diberikan lampu hijau oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Noh Omar.

"Selepas lawatan Noh Omar jawatankuasa yang dikatakan membuat bantahan mengenai kuil yang hendak dibinakan di Seksyen 23 itu, barulah berlaku insiden semalam kerana Noh Omar telah mengeluarkan satu kenyataan dia akan lawan, dia akan menentang projek itu berhabis-habisan," kata Ronnie.

"Lepas itu ada insiden ini. Saya mintalah Noh Omar, memberitahu apakah pendirian dia kepada kita. Adakah dia adalah penghasut atau batu api ataupun dia pun tidak setuju dengan apa yang berlaku semalam," tambah Ronnie.

Tiada ulasan: