HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 Ogos 2009

Semua negeri dapat layanan adil

Oleh NURUL HUDA HASSAN


PULAU PINANG - Semua negeri akan mendapat layanan adil dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) yang akan bermula pada 2011, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Beliau juga yakin Kerajaan Pusat akan mencari kaedah yang berkesan terutama dari segi pembahagian peruntukan RMK-10 yang berlandaskan model ekonomi baru.

Menurutnya, bagi memastikan semua yang dirancang tercapai dengan jayanya, kerajaan kini dalam proses membentuk RMK-10 lebih awal daripada pelan rancangan Malaysia sebelum ini.

''Pada kebiasaannya, kita mula merancang pelan rancangan Malaysia pada tahun sebelum ia bermula namun tahun ini kita mula lebih awal kerana mahu memberikan masa untuk mendapat maklumat yang lebih daripada semua pihak.

''Bagi RMK-10 akan mula pada Januari 2011 ini, kita telah pun sudah mula membentuk dan merancang pelan berkenaan pada pertengahan 2009 yang kini prosesnya masih berterusan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Penyelarasan Pelaksanaan Projek Pembangunan Persekutuan Negeri Pulau Pinang di Menara Boustead di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan Ekonomi, Tan Sri Khalid Ramli.

Mengulas lanjut, beliau berkata, perancangan untuk RMK-10 dan RMK-11 juga dilihat amat penting kerana ia juga perlu memastikan matlamat tarikh keramat Wawasan 2020 iaitu menjadi negara maju tercapai.

''Atas faktor itu, perancangan perlu dibuat awal untuk memastikan antara lain tahap pendapatan perkapita rakyat kini meningkat daripada AS$7,000 setahun kepada AS$12,000 setahun.

''Kini kita berada pada tahap yang begitu tinggi dengan pendapatan per kapita AS$7,000 tetapi kita perlu mencapai lebih daripada itu kerana sasaran kita adalah menjadi negara maju menjelang 2020," jelasnya.

Bagi Pulau Pinang pula, katanya, adalah amat perlu bagi kerajaan mewujudkan industri yang lebih sofistikated dan pada masa sama tidak lagi bergantung kepada industri pembuatan sebagai pemangkin ekonominya.

Tiada ulasan: