HALAMAN SANTAI

Isnin, 24 Ogos 2009

Inap desa jana RM4.8j

UTUSAN ONLINE


RAUB - Industri inap desa menunjukkan potensi menggalakkan dalam sektor pelancongan apabila menjana pendapatan sebanyak RM4.8 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata, tahun lalu, negara memperoleh pendapatan sebanyak RM6.3 juta daripada 140 inap desa yang beroperasi di seluruh negara.

Menurut beliau, jumlah itu menunjukkan industri tersebut semakin mendapat sambutan di kalangan pelancongan asing dan domestik.

''Berdasarkan kempen dan promosi yang dijalankan di luar negara, minat rakyat asing untuk mengetahui keistimewaan negara ini meningkat secara mendadak.

''Ini kerana negara ini aman, rakyatnya peramah, kepelbagaian budaya, penginapan yang selesa di hotel mahupun inap desa, makanan yang enak dan sebagainya,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas melancarkan laman web Persatuan Inap Desa Malaysia dan menyaksikan perjanjian persefahaman (MoU) antara Persatuan Pengusaha Inap Desa Malaysia dengan Persatuan Pengusaha Pelancongan Jepun di Inap Desa Sungai Pasu dekat sini semalam.

Hadir sama Pengerusi Persatuan Inap Desa Malaysia, Sahariman Hamdan; Setiausaha Persatuan Jepun Malaysia, Arai Takuji dan Ketua Kampung Sungai Pasu, Zamri Maarof.

Yen Yen berkata, sebanyak RM200 juta mampu diperoleh pada tahun ini daripada sektor pelancongan berikutan minat mendalam pelancong luar terhadap negara ini.

Katanya, flora dan fauna serta keunikan kebudayaan pelbagai etnik di Malaysia amat istimewa dan sukar ditemui di negara lain.

Beliau berkata, pihak kementerian dan kerajaan-kerajaan negeri turut melakukan promosi berterusan di negara luar seperti China, Jepun, Korea, Singapura dan Eropah.

''Walaupun wabak selesema babi atau influenza A (HINI) melanda tetapi pelancong tetap bertambah iaitu seramai setengah juta orang sehingga Julai lalu berbanding 1.9 juta orang dalam tempoh sama tahun lalu.

''Pada keseluruhannya kedatangan pelancong dari Januari hingga Julai 2009 ialah seramai 13.3 juta orang meningkat sebanyak 3.6 peratus berbanding 12.8 juta orang dalam tempoh sama tahun 2008,'' katanya.

Beliau menambah, kementerian memberi penekanan dalam aspek penjenamaan inap desa berikutan potensi besar industri itu dalam memberikan pendapatan kepada rakyat luar bandar.

Pada masa sama, jelasnya, pihaknya turut menggalakkan perkembangan industri pelancongan kesihatan dan pendidikan berikutan kemudahan yang disediakan di negara ini bertaraf dunia.

Tiada ulasan: