HALAMAN SANTAI

Rabu, 19 Ogos 2009

Kaji umur persaraan lelaki, wanita diseragam

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengkaji Akta Pekerja untuk menjamin kesamarataan had umur persaraan antara lelaki dan wanita dalam sektor awam serta swasta.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ketika ini sektor awam menetapkan 58 tahun sebagai had umur persaraan kakitangan lelaki dan wanita dan mungkin meningkat kepada 60 tahun pada masa depan, berbanding 50 tahun untuk wanita dalam sesetengah sektor swasta.

“Tidak pasti kenapa ia tidak dikuatkuasakan sektor swasta kerana pada usia 50 tahun, wanita masih produktif dan mempunyai banyak pengalaman untuk menjalankan tugas,” katanya pada sesi dialog dengan peserta Sidang Kemuncak Wanita 2009 di Pusat Konvensyen Sime Darby, di sini semalam.

Muhyiddin ditanya mengenai sesetengah syarikat swasta yang menetapkan had umur bersara bagi kakitangan wanita adalah 50 tahun, manakala 55 tahun bagi lelaki.

Beliau berkata, sepatutnya sektor swasta menguatkuasa had umur persaraan seperti yang diputuskan kerajaan, bukannya membuat ketetapan sendiri kerana ia boleh menyebabkan pembaziran tenaga kerja.

Mengenai kuota 30 peratus untuk melantik wanita berjawatan penting dalam sesebuah organisasi, beliau berkata, tidak ada peruntukan menyekat pelantikan wanita untuk jawatan pembuat dasar di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau ahli Lembaga Pengarah syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia.

“Kabinet boleh bincangkan dengan lebih lanjut mengenai langkah menguatkuasakan kuota 30 peratus seperti yang diamalkan sektor awam di GLC dan sektor swasta,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata pihaknya akan bertindak terhadap syarikat yang mengarahkan kakitangan wanitanya bersara awal.

“Kenapa perlu ada diskriminasi, sedangkan bilangan wanita yang diberi jawatan sebagai pembuat dasar juga masih tidak mencapai angka yang memuaskan,” katanya.

Tiada ulasan: