HALAMAN SANTAI

Selasa, 18 Ogos 2009

Kerajaan Negeri sedia bantu petani

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM – Kerajaan Negeri prihatin mengenai masalah yang dihadapi petani yang menyertai projek perintis peningkatan hasil padi negeri Selangor musim 1/2009.

:Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari berkata, Kerajaan Negeri kini sedang berusaha untuk menyediakan mesin menuai yang lebih efisien bagi membantu petani meningkatkan hasil padi.

Menurutnya, walau bagaimanapun kejayaan projek perintis ini sebenarnya bergantung kepada petani sendiri.

“Pengawasan waktu penuaian adalah sebahagian daripada program peningkatan hasil dan kita mahu petani berada di blok masing-masing ketika proses penuaian dilakukan.

“Petani sendiri perlu aktif, memantau dan mengawasi proses penuaian sawah masing-masing,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan bertajuk ‘Peserta Projek Perintis ‘Makan Hati’’ yang disiarkan di dalam Sinar Harian pada 16 Ogos lalu.

Yaakob berkata, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) tidak menguasai jentera penuaian sebaliknya jentera ini dikendalikan oleh Ketua Blok.

“Proses penuaian dijalankan mengikut jadual yang ditetapkan dan Ketua Blok bersama Pegawai Pertanian yang akan me-ngaturkan jadual bagi proses penuaian.

“Sebanyak 10 peratus hasil padi yang terbuang adalah satu jumlah yang besar dan dipandang serius, kerana itu dalam projek perintis peningkatan hasil padi negeri ini, perkara yang perlu dipantau ialah proses menuai,” katanya.

Menurutnya, petani sudah menunggu lama untuk mendapatkan hasil, namun ada kalanya mereka langsung tidak turun ke sawah.

“Hanya segelintir sahaja petani yang prihatin akan hadir bersama dan menunggu sehingga kerja penuaian selesai dijalankan.

“Kejayaan program ini bergantung kepada petani sendiri, justeru saya meminta agar petani berada bersama semasa proses menuai untuk memantau kerja yang dilakukan,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai jentera yang menjalankan kerja menuai pada waktu malam sehingga menyebabkan banyak padi terbuang, beliau berkata, hanya dua keadaan sahaja yang membolehkan kerja penuaian dilakukan pada waktu malam.

“Pertama, apabila hujan turun sewaktu operasi penuaian yang dijalankan pada waktu siang, itu kita benarkan operasi pada waktu malam dibuat,

“Kedua, sekiranya jentera yang digunakan mungkin terbenam sewaktu menjalankan kerja penuaian pada waktu siang disebabkan hujan,” katanya.

Tiada ulasan: