Oleh ZABRY MOHAMAD
PUTRAJAYA - Kerajaan sedia berdepan dengan apa juga risiko dalam melaksanakan enam Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) bagi mencapai matlamat indeks Petunjuk Prestasi Utama (KPI) secara lebih berkesan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Malah menurut Perdana Menteri, beliau dan menteri-menteri lain berazam memberikan komitmen sepenuhnya bagi memastikan ia berjaya dilaksanakan.
Melalui kaedah tersebut, katanya, kerajaan akan bertanggungjawab sepenuhnya bagi mencapai setiap sasaran yang ditetapkan agar pencapaian dapat dinilai sendiri oleh rakyat secara telus dan terbuka.
"Walaupun ini merupakan risiko besar, saya telah membuat pengakuan bahawa saya dan rakan-rakan dalam pentadbiran akan mendokong dan menggalas amanah ini dengan penuh komitmen dan kesungguhan, kita takkan lari daripada menjunjung amanah rakyat.
"Saya yakin semua pegawai dan penjawat awam merasakan ini sebagai sokongan bersama dan mudah-mudahan berkat kerjasama sebagai sebuah keluarga besar, segala jangkaan dapat dicapai dengan jaya," katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Baru-baru ini, Najib mengumumkan enam teras NKRA bagi mencapai matlamat indeks KPI merangkumi jenayah, rasuah, pendidikan, taraf hidup rakyat, prasarana luar bandar dan pengangkutan awam.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, ini pertama kali sebuah kerajaan di dunia menjadikan kaedah sedemikian sebagai satu instrumen dan metodologi utama secara besar-besaran dalam pentadbiran negara.
Dalam perkembangan lain, beliau mengingatkan warga Kementerian Kewangan supaya menyelaraskan setiap pemikiran dan tindakan berdasarkan senario ekonomi semasa.
Katanya, negara sedang memasuki peringkat pemulihan ekonomi yang sangat mencabar dan mana-mana pihak sekali pun termasuk pakar ekonomi sendiri tidak mampu meramalkan dengan tepat berapa lama ia akan ditempuhi dan kemungkinan lain yang terpaksa ditangani.
"Ada negara melalui bentuk pemulihan yang perlahan dan ada negara mampu pulih sepenuhnya tetapi terpaksa menghadapi masalah pengangguran yang tinggi dan pelbagai bentuk pemulihan lagi yang dapat kita lihat," ujarnya.
Menurutnya, Kementerian Kewangan yang memainkan peranan utama dalam strategi menjana ekonomi perlu sentiasa mengikuti perkembangan semasa termasuk di peringkat serantau dan global.
Beliau menambah, perubahan semasa yang begitu pantas menyebabkan model dan teori ekonomi yang diguna pakai selama ini tidak lagi relevan dan perlu diubahsuai atau diganti baru.
Sehubungan itu Najib memberitahu, Kementerian Kewangan perlu bekerjasama dengan kementerian-kementerian lain supaya semua program yang diluluskan dalam pakej rangsangan ekonomi dapat dilaksanakan mengikut jadual.
Jelas Perdana Menteri, jika ada bahagian dalam pakej berkenaan gagal diselesaikan seperti yang ditetapkan akan menyebabkan ekonomi negara menjurus ke tahap yang lebih tenat.
Selain itu, katanya, permintaan domestik juga perlu diberikan perhatian bagi merangsang ekonomi memandangkan pasaran dunia seperti di Amerika Syarikat (AS) tidak lagi mampu membeli barangan pada tahap sebelum ini.
"Apa saja yang dapat merangsang pelaburan awam dan persendirian perlu dilakukan segera, kalau tidak, ekonomi negara tidak mampu dijana pada tahap yang diharapkan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan