HALAMAN SANTAI

Khamis, 6 Ogos 2009

Kolej Shahputra ditutup 9 hari, UMP benar tangguh pendaftaran

UTUSAN ONLINE


KUANTAN - Kolej Shahputra di sini ditutup selama sembilan hari mulai hari ini sehingga 11 Ogos, ekoran penularan wabak selesema babi atau influenza A (H1N1).

Pengerusi Eksekutif Kolej Shahputra, Datuk Dr. Azman Zaini Abd. Ghanie berkata, penutupan tersebut dibuat sebagai langkah awal bagi mencegah penularan wabak tersebut di kalangan 3,000 pelajar kolej berkenaan.

Beliau berkata, ia berikutan terdapat simptom jangkitan wabak itu di kalangan beberapa pelajar sehingga menyebabkan Jabatan Kesihatan yang membuat pemantauan, mengesyorkan supaya kolej ditutup.

"Penutupan itu bertujuan mengelakkan pelajar dan orang ramai berkumpul kerana melalui cara ini wabak H1N1 mudah tersebar," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) pula yang pelajar-pelajarnya turut mengalami simptom jangkitan wabak tersebut, membenarkan penangguhan pendaftaran masuk yang dijadualkan Isnin ini.

Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim juga meminta pelajar yang kurang sihat terus tinggal di rumah masing-masing sehingga pulih sepenuhnya.

Beliau mengingatkan ibu bapa, penjaga dan keluarga pelajar serta kakitangan UMP yang dibenarkan bercuti supaya tidak meninggalkan rumah sehingga disahkan sembuh.

"Langkah-langkah tersebut diambil bagi membendung wabak H1N1 di kampus UMP," katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia hari ini.

UMP sebelum ini telah memberikan cuti khas sehingga 9 Ogos ini kepada lebih 5,000 pelajarnya bagi membendung penularan selesema babi itu.

Cuti khas itu diberikan berikutan peningkatan mendadak bilangan pelajar yang demam dan mempunyai simptom yang boleh dikaitkan dengan selesema babi.

Tiada ulasan: