UTUSAN ONLINE
PORT DICKSON - Kumpulan pengamal ajaran sesat yang ditahan penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan polis hari ini disifatkan sebagai mengancam keselamatan negara.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pergerakan kumpulan itu diketahui beberapa bulan lalu dan pemantauan JHEAINS mendapati ia tidak membincangkan soal akidah tetapi lebih kepada merekrut anggotanya untuk tujuan tertentu.
Beliau yang juga Pengerusi Ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) menegaskan, ia merupakan kumpulan yang dikenal pasti boleh memudaratkan masyarakat dan memesongkan akidah, selain mempunyai agenda tersembunyi.
"Kita tidak mahu Negeri Sembilan dijadikan pusat kegiatan propaganda menentang kerajaan. Kita tidak mahu melihat akidah umat Islam dipesongkan.
"Lebih teruk lagi, jika dibiarkan berterusan mungkin boleh menjadi satu gerakan pengganas," tegasnya selepas majlis taklimat bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) seluruh negeri di Tiara Beach Resort di sini hari ini.
Mohamad mengulas penahanan 20 orang termasuk lelaki dan wanita dipercayai kumpulan ajaran sesat dalam serbuan di Taman Perindustrian Oakland, Seremban 2 hari ini.
Utusan Malaysia difahamkan kumpulan itu menyamai gerakan pertubuhan yang diharamkan di Indonesia, kerana membawa ideologi antikerajaan serta menolak al-Quran dan Hadis.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, ia masih dalam siasatan pihak JHEAINS dan polis.
"Kewujudan kumpulan ini memang dalam pengetahuan radar kita. Bila waktu yang sesuai kerajaan akan bertindak. Hari ini kita bertindak ke atas kumpulan ajaran sesat itu," tegas beliau.
Kata Menteri Besar, kumpulan itu disertai pengikutnya terdiri daripada rakyat Malaysia yang bukan berasal dari Negeri Sembilan sebaliknya dibawa dari negeri lain.
Sehubungan itu, beliau memberi amaran kepada kumpulan ajaran sesat ini supaya jangan terfikir bahawa kerajaan memandang sepi gerakan mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan