SINAR HARIAN ONLINE
SHAH ALAM - Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam mendakwa kemungkinan terdapat dalang di pejabat Menteri Besar (MB) yang selama ini telah membocorkan maklumat sulit mengenai pemimpin Pakatan Rakyat (PR) selama ini.
Menurutnya, dokumen dakwaan salah guna peruntukan Dewan Undangan Negeri Sementa, iaitu DUN angkat Exco Selangor, Rodziah Ismail adalah sulit dan telah dibocorkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab.
“Sekitar Februari lalu, Bahagian Audit Parlimen Kapar yang dibarisi oleh Ketua Bahagian Kapar, Mohd Bakir Abu Wahab, Ketua Wanita Bahagian Kapar, Hamidah Som, Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian, Dr Mohd Hamka Ahmad dan V Manivanam.
“Audit tersebut dijalankan bertujuan untuk memastikan sama ada semua peruntukkan DUN disalurkan dan dibelanjakan dengan cara yang betul serta tulus,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Manikavasagam berkata, sewaktu audit dijalankan, barisan juruaudit mendapati terdapat percanggahan dokumen yang tidak betul dan lengkap kerana terdapat perbelanjaan yang dikeluarkan tetapi tidak mempunyai resit serta penerangan jelas mengenainya.
“Selesai siri audit yang pertama, laporan lengkap bersama semua dokumen tersebut telah pun diserahkan kepada Menteri Besar (MB), Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Setiausaha Politik kepada MB, Nik Nazmi Nik Ahmad, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Rodziah sendiri.
“Sementara itu, juru audit telah meminta Penyelaras 1 DUN Sementa, Mohd Saadon Mohar untuk mengemukakan semua bukti dan beliau telah pun berjaya berbuat demikian,” katanya.
Menurut Manikavasa-gam, laporan tersebut telah pun diserahkan kepada MB pada 7 Mei lalu dan pada 19 Mei lalu, Nik Nazmi telah pun menyerahkan surat rasmi yang mengatakan beliau akan menyiasat segera perkara itu.
“Ingin saya tegaskan bahawa, audit telah pun dijalankan ke atas peruntukkan tersebut enam bulan lalu dan semua perbelanjaan yang tidak lengkap kerana tidak mempunyai resit telah pun dikemukakan.
“Semuanya telah selesai, namun bagaimana dokumen sebegitu sulit dalam laporan pertama yang diserahkan boleh terlepas ke tangan orang lain?,” katanya.
Selain itu, Manikavasagam turut meluahkan rasa kesal terhadap tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang nampaknya lebih berminat menyiasat kes yang dikaitkan dengan pemimpin PR.
Beliau turut menyarankan kepada SPRM supaya turut menyiasat ke mana wang peruntukkan sebanyak RM1 juta yang diturunkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada setiap Ahli Parlimen pembangkang yang tidak pernah sampai kepadanya.
Sementara itu, beliau menganggap, apa yang berlaku merupakan satu penganiayaan dan cubaan untuk menjatuhkan Rodziah.
Sehubungan itu, Manikavasagam turut menyarankan kepada MB supaya meluangkan sedikit masa sekurang-kurangnya setengah jam untuk berjumpa sendiri ADUN dan Ahli Parlimen untuk mendengar sebarang luahan yang ingin disampaikan.
“Kalaulah MB dapat meluangkan sedikit masa itu, saya yakin perkara ini tidak akan berlaku di mana kami dapat menyerahkan sendiri semua dokumen rahsia dan sulit ke tangannya sendiri.
“Selepas ini, saya sendiri tidak yakin sekiranya sebarang dokumen sulit seumpama ini benar-benar selamat jika diserahkan di pejabat MB,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan