SINAR HARIAN ONLINE
SHAH ALAM - Pas Selangor berharap garis panduan yang bakal diperkenalkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung isu penjualan arak memenuhi tuntutan parti itu.
Keputusan yang dicapai pada mesyuarat tergempar Pas selepas Abdul Khalid mengumumkan cadangan sistem kawalan kendiri juga sebulat suara menolak cadangan Menteri Besar itu.
Ketua Penerangannya, Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir berkata, pihaknya menyokong penuh kenyataan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali dan menuntut perlaksanaan larangan jualan minuman keras di kawasan majoriti penduduk beragama Islam.
Isu arak menjadi panas di Selangor apabila Ronnie Liu yang juga Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan mengarahkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memulangkan arak yang dirampas di sebuah kedai serbaneka di sini.
Roslan Shahir berkata, harapan Pas agar tuntutan pelaksanaan larangan jualan arak tersebut akan dimasukkan ke dalam garis panduan yang diperkenalkan Abdul Khalid nanti.
“Kami percaya MB akan memenuhinya dan konsisten dengan tuntutan itu demi umat Islam di negeri ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Baru-baru ini, Abdul Khalid menyatakan Kerajaan Negeri akan mengeluarkan garis panduan dalam tempoh sebulan dan menasihatkan penjual serta pengedar agar mengamalkan sistem kawalan kendiri.
Difahamkan sistem kawalan kendiri itu bermaksud penjual dan pengedar mengambil tindakan dengan tidak menjual minuman keras itu kepada penduduk Islam dan yang berumur 18 tahun ke bawah.
Sementara itu, Roslan Shahir turut mengulas kenyataan Ahli Dewan Negeri (ADUN) Kinrara, Teresa Kok yang mengibaratkan Ronnie sebagai ‘hero’ bukan Melayu.
“Bagi kami (Pas), Datuk Dr Hasan adalah ‘hero’ masyarakat Islam kerana berani memperjuangkan hak-hak penduduk Islam,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan