HALAMAN SANTAI

Sabtu, 8 Ogos 2009

Satu Lagi Kes Curi Balak Kini Di Kesan

Tanah Hak Milik Kementerian Belia Dan Sukan Di Gambang Pula Jadi Sasaran Penjenayah Berlesen

PAHANG DAILY
(Eksklusif)

PAYA BESAR - Biar pun sudah berbagai usaha dilakukan oleh kerajaan dalam memastikan hasil mahsul negeri ini tidak jatuh kepada "perompak" dengan sesuka hati. Namun ternyata ia dipandang sepi oleh pihak-pihak berkenaan.

Umum mengetahui bahawa negeri Pahang ini, yang cukup kaya dengan hutan belantara kini dijadikan "habuan rompakan balak secara berhemah" oleh pihak-pihak yang berkepentingan. Sudah saban kali kita melihat dan mendengar tentang kes kecurian balak yang berlaku di negeri ini sebenarnya.

Sangkaan kita, isu ini akan selesai bila ada pasukan khas yang ditubuhkan bagi memantau keadaan tersebut. Namun, ia ternyata meleset bila manakes-kes sebegini terus berlaku saban hari, saban bulan malah saban tahun. Perompak balak di Pahang bebas melakukan apa sahaja, seolah-olah mereka mendapat sokongan dan "lampu hijau" daripada mereka yang berkuasa.

Hasilnya, hutan balak terus dicerobohi dengan rakusnya tanpa belas kasihan. Hutan yang sepatutnya menjadi khazanah alam untuk dinikmati oleh anak cucu dan generasi akan datang terus ditarah demi keuntungan yang bakal dikecapi.

Segala undang-undang dan peraturan dipersetankan. Malah, terdapat maklumat bahawa ramai Wakil Rakyat UMNO dan BN Pahang sendiri yang menjadi "mastermind" kepada rompakan balak ini sebenarnya. Malah, bagi mengelirukan rakyat mereka akan melaporkan kepada polis dan memanggil pihak media selepas beribu-ribu hektar balak dikeluarkan.

Maka, pihak media pun melaporkan bahawa polis berjaya menahan lori dan jentera yang digunakan untuk merompak balak itu. Terpampanglah di kaca TV tentang tangkapan ini.

Namun, hanya beberapa buah lori balak sahaja yang dipaparkan sebagai menunjukkan keperihatinan dan kejayaan. Sebaliknya, beratus-ratus hektar lagi tidak didedahkan kerana masing-masing sudah disuap dan disogok dengan wang !! Inilah hakikat yang berlaku sebenarnya.

Hasilnya, biarpun pihak polis telah berjaya menangkap penjenayah serta semua jentera dan alat kelengkapan membalak itu. Namun, hingga kini tidak ada mana-mana pendakwaan yang dibuat terhadap perompak balak itu di mana-mana mahkamah di Pahang ini.

Maknanya, tangkapan itu dibuat sebagai syarat kononnya kerajaan prihatin dan melakukan kerja. Walhal kerja yang dilakukan sudah disediakan dengan habuan untuk menutup mulut. Inilah yang terjadi, dan sebab itu juga ramai yang pelik bila laporan tangkapan pencuri balak disiarkan dan jentera dirampas oleh pihak polis. Namun, andainya kita pergi ke balai polis yang dimaksudkan memang sungguh menakjubkan bila tidak terdapat langsung jentera yang disita itu di balai terbabit.

Kerana apa ini berlaku, kerana penjenayah berkenaan awal-awal lagi sudah "kautim atau berunding" dengan orang atasan terutamanya pemimpin UMNO setempat untuk melepaskan diri mereka daripada hukuman.

Balasannya memang sungguh menakjubkan. Puak-puak UMNO ini pula, sanggup merompak balak kerana mereka tahu jika dipohon sekali pun prosesnya agak lambat. Malah, belum tentu MB Pahang akan meluluskan kawasan terbabit atas alasan mereka sudah menerima imbuhan dan kawasan ban balak beberapa kali sebelum itu.

Akhirnya, langkah terdesak untuk mengaut untuk yang singkat maka mengarahkan proksi-proksi mereka iaitu "Sawmill @ kilang papan" yang berdekatan untuk menebang balak sesuka hati menerusi pintu belakang.

Malah, kerja-kerja terkutuk itu berjaya dilakukan dengan tenang dan selamat bila disediakan pula dengan kawalan keselamatan di laluan masuk kawasan balak yang dirompak itu. Akhirnya hutan-hutan balak di negeri Pahang terus musnah dirompak oleh beberapa kerat individu yang kononnya mengaku membela nasib orang Melayu dan berjuang untuk bangsa dan agama.Hakikatnya, mereka hanya ingin mengenyangkan "tembolok" mereka semata-mata.

Terbaru, difahamkan satu kes curi balak kini sedang aktif berlaku dihadapan hutan simpan milik Kementerian Belia dan Sukan dekat sini. Lokasi kawasan yang terletak berhadapan dengan Kolej Komuniti Paya Besar di Gambang itu adalah kawasan larangan kerana terdapat papan tanda "Dilarang Menceroboh, Tanah Milik Kementerian Belia dan Sukan".

Namun anehnya, pencerobohan tetap juga berlaku biarpun sudah berbagai halangan dibuat. Justeru itu, diharapkan agar pihak yang berkenaan dapat mengambil perhatian perkara ini.

Jika tiada tindakan, maka sudah pasti mereka yang menceroboh itu akan terus bermaharajalela dan rakus merompak hasil mahsul negeri ini. Patutlah bila dibentang belanjawan negeri, Bajet negeri senantiasa mengalami defisit. Ini kerana ketirisan itu gagal untuk dikesan dan diperbetulkan oleh kerajaan UMNO dan Barisan Nasional sejak dulu, kini dan selamanya.

[Sebenarnya, banyak lagi kejadian seperti ini yang berlaku di seluruh negeri Pahang. Semuanya gagal untuk dibenteras dek kerana kekurangan pegawai penguatkuasa Jabatan Perhutanan Negeri.

Difahamkan tahun lalu sahaja, tidak sampai pun 10 orang pegawai ranjer hutan yang ditempatkan di jabatan terbabit. Bayangkan, dengan keluasan hutan di Pahang ini maka mana mungkin jumlah seramai itu boleh menjaga keseluruhan kawasan hutan berkenaan.

Itu pun belum termasuk rondaan dengan menggunakan helikopter terhadap hutan-hutan terbabit. Akhirnya, penjenayah berjaya melakukan kerja rompakan siang dan malam tanpa merasa takut. Apatah lagi bila ditambah dengan sokongan wakil rakyat setempat, yang juga cukup berselera untuk mendapat habuan dengan hasil balak itu nanti.

Tanyalah kepada mana-mana pemimpin UMNO baik diperingkat bahagian dan cawangan sekarang ini. Bila mereka memegang jawatan, maka langkah pertama ialah memohon ban balak dan memperkayakan diri mereka sendiri. Barulah selepas itu berfikir untuk berjuang kerana rakyat].

Tiada ulasan: