TV SELANGOR
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan berusaha mencari jalan menyediakan peruntukan tambahan untuk tujuan pembangunan, termasuk cadangan menggunakan dana Baitulmal.
Menurutnya, mungkin ada kaedah lain yang boleh diguna, berdasarkan pandangan Mufti Selangor, Datuk Setia Tamyes Abdul Wahid apabila kerajaan bercadang menggunakan dana Baitulmal.
Bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Shah Alam hari ini, beliau berkata Datuk Tamyes telah mengemukakan laporan berhubung cadangan kerajaan negeri.
“Saya masih lagi mencari jalan supaya kerajaan Persekutuan menyalurkan kewangan melalui kerajaan negeri. Kalau itu berlaku, saya takkan mencari alternatif lain, jika terpaksa kitaa menjalankan usaha yang lain,” katanya.
Tan Sri Khalid membuat cadangan itu berikutan sekatan yang dikenakan oleh kerajaan persekutuan dalam mengagih-agihkan peruntukan yang sepatutnya diterima oleh kerajaan negeri Selangor menerusi pejabat pembangunan negeri.
Datuk Tamyes dalam laporannya kepada menteri besar memberitahu, jika dilihat dari konteks baitulmal di awal Islam, Baitulmal merupakan satu perbendaharaan yang menghimpunkan segala sumber harta bagi sesebuah Negara.
Namun bagi Malaysia ketika ini, ia telah disempitkan skop dan fungsinya menerusi dua pentadbiran iaitu perbendaharaan Negara menerusi kementerian kewangan dan Baitulmal.
Datuk Tamyes dalam laporannya berkata, Baitulmal kini telah dibentuk sebagai kumpulan amanah majlis dan hanya diletakkan di bawah majlis agama islam negeri sahaja.
Ini kerana hasil percukaian seperti cukai tanah, cukai kepala, cukai perniagaan, cukai perlombongan telah diambil alih kutipan dan pengaihannya oleh pihak kerajaan sama ada kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri.
Manakala Baitulmal hanya menjalankan sebahagian fungsi pengurusan harta sumber seperti wakaf, fidyah, sedekah, wasiat dan harta pusaka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan