HALAMAN SANTAI

Isnin, 10 Ogos 2009

Tempoh sebulan haramkan arak

Oleh Khairul Azran Hussin


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda Pas Pusat memberi tempoh sebulan kepada Kerajaan Selangor untuk mengharamkan minuman keras di kawasan majoriti Islam.

Sambil memberi amaran tindakan susulan lebih tegas akan diambil jika tuntutan itu tidak dilaksanakan, Ketuanya, Nasruddin Hassan, berkata satu memorandum sudah dihantar kepada Kerajaan Selangor berhubungnya.

“Satu memorandum sudah dihantar menerusi Dewan Pemuda Pas Selangor kepada Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan Penyelidikan dan Pembangunan Negeri, Ronnie Liu berhubung tuntutan itu.

“Pihak kami akan memantau perkembangan yang berlaku dan jika dalam tempoh itu tiada apa-apa tindakan diambil Kerajaan Selangor, Pemuda Pas tidak akan teragak-agak untuk membuat tindakan susulan lebih tegas,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sebelum ini, kerajaan Pakatan Rakyat Selangor menolak cadangan Pas negeri yang meminta kerajaan negeri mengharamkan penjualan minuman keras di kawasan majoriti penduduk Islam.

Sebagai alternatif, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mencadangkan peniaga mengguna pakai sistem kawalan sendiri dengan tidak menjual minuman keras kepada orang Islam dan mereka di bawah umur.

Pas sebelum itu mengemukakan draf peraturan penjualan minuman keras untuk diguna pakai di semua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri itu bagi mengawal penjualan arak kepada orang Islam dan mereka di bawah umur.

Antara kandungan draf itu ialah tidak membenarkan kedai serbaneka menjual minuman keras di kawasan majoriti penduduk Islam seperti di Shah Alam dan Bandar Baru Bangi.

Ditanya apakah bentuk tindakan tegas akan diambil jika tuntutan itu tidak dipenuhi, Nasruddin berkata, masih terlalu awal untuk menjelaskan bentuk tindakan yang akan diambil pihaknya.

“Saya berharap Kerajaan Selangor melihat kejayaan Kerajaan Kelantan berhubung peraturan menjual minuman keras. Pas bukannya menghalang ia dijual tetapi biarlah mengikut polisi dan peraturan tertentu.

“Di Kelantan, minuman dilarang dijual di kawasan yang majoriti Islam dan kalau hendak diminum, hendaklah di tempat tertutup. Jika kita tengok, masyarakat bukan Islam di sana (Kelantan) dapat menerimanya,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar menjelaskan parti berkenaan memerlukan sedikit masa sebelum dapat melaksanakan pelbagai peraturan yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat Islam.

“Kami (Pakatan Rakyat) baru saja memerintah, sudah tentu berlaku banyak pendapat yang kadang-kadang bertentangan. Walau apapun, beri kami masa, akan banyak perkara yang dapat dipersetujui dan dilakukan bersama,” katanya.

Tiada ulasan: