HALAMAN SANTAI

Khamis, 13 Ogos 2009

Tuanku Muhriz beri amaran sindiket jual darjah, pingat

Oleh Ziauddin Sharuddin


SEREMBAN: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, menasihatkan rakyat supaya berhati-hati terhadap tindakan pihak tertentu yang mengaitkan baginda dengan penjualan darjah kebesaran dan pingat negeri ini serta penganjuran satu majlis di Seri Kembangan, Oktober depan.

Menurut kenyataan media Istana Negeri Sembilan yang dikeluarkan di sini, semalam, tindakan itu disifatkan sebagai taktik pihak berkenaan menyalahgunakan nama baik istana untuk kepentingan mereka.

Tuanku Muhriz bertitah bahawa, baginda tidak mengurniakan darjah kebesaran serta pingat negeri melalui proses penjualan dan tidak pernah atau memberi kuasa juga melantik mana-mana pihak untuk proses penjualan darjah kebesaran dan pingat negeri ini.

Kenyataan itu juga menyebut, Tuanku Muhriz menafikan memberi perkenan untuk mengadakan satu majlis dan berangkat mencemar duli ke majlis itu. Pihak tertentu itu merancang mengadakan `Majlis Mesra rakyat' dan `Santapan Diraja Charity Fund 2009' yang dijangka diadakan di Hotel Palace of The Golden Horses, Seri Kembangan pada 31 Oktober.

Sehubungan itu, Istana Negeri Sembilan menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan tidak terpedaya dengan tipu helah pihak berkenaan.

Tiada ulasan: