UTUSAN ONLINE
KUALA LUMPUR -Seorang wanita dari Johor berusia 33 tahun yang sarat mengandung lapan bulan menjadi korban ke-68 selesema babi atau influenza A (H1N1) di negara ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, wanita itu meninggal dunia pada 13 Ogos lalu dan punca kematiannya disahkan akibat positif H1N1 selepas mengalami sesak nafas dan pneumonia yang teruk.
Menurutnya, mangsa dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Johor Bahru pada 8 Ogos setelah mengalami demam dan batuk selama lima hari selepas itu dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.
"Sehingga hari ini sebanyak 1,533 pesakit telah dimasukkan ke 104 hospital kerajaan termasuk hospital swasta akibat H1N1," katanya selepas melancarkan kempen Klinik Cegah dan Rawat Influenza A di sini hari ini.
Mengenai bekalan vaksin H1N1 yang dikatakan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kian berkurangan, Tiong Lai berkata, pihaknya akan mendapat bekalan pertama sebanyak 400,000 dos Oktober ini dan bekalan kedua pada Januari tahun depan. Menurut beliau, pihaknya telah membuat tempahan awal dan bekalan itu bakal menyempurnakan langkah-langkah pencegahan terhadap H1N1.
Bagaimanapun pihaknya masih mencari pembekal yang lain untuk mendapatkan bekalan yang mencukupi.
Mengenai bekalan antivirus untuk klinik dan hospital swasta, Tiong Lai berkata, pembekal swasta bersetuju menurunkan harga masing-masing dan tindakan itu akan membolehkan klinik tempatan menjualnya dengan lebih murah kepada pesakit.
Katanya, rawatan antivirus itu akan diberikan kepada tiga kumpulan tanpa perlu menjalani ujian pengesahan influenza A iaitu individu yang mempunyai simptom penyakit seperti influenza (ILI) dan mempunyai faktor risiko serta individu yang mempunyai simptom ILI tanpa risiko tetapi demam tinggi berpanjangan dan melebihi dua hari.
Katanya, rawatan itu juga akan diberikan kepada mereka yang telah menjalani ujian segera dan didapati positif.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan