Abdul Rahim Sabri
Shahrudin Abdul Hamid yang ingin menjadi calon bebas pada pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang "tidak memberi kesan apa-apa" kepada kempen pilihanraya Pakatan Rakyat, kata yang dipertua PAS Teluk Kemang.
Ramli Ismail berkata PAS dan Pakatan tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya Shahrudin, yang mendakwa bekas ahli jawatankuasa PKR ranting Kota Lukut, bertanding dalam pilihan raya tersebut yang bermula 3 Oktober ini.
"Bebas, siapa pun boleh bertanding. Dia tak guna lambang PKR, dia guna lambang calon bebas.
"Pakatan Rakyat sepakat, siapa yang bertanding (sebelum ini), maknanya parti lain tidak boleh bertanding," katanya kepada Malaysiakini.
Ramli , yang bertanding di kerusi tersebut tahun lalu, diminta mengulas tindakan Shahrudin menawarkan diri sebagai calon bebas – sekali gus bakal bertembung dengan PAS.
Shahrudin, bekas kakitangan di pejabat ahli parlimen PKR bagi Teluk Kemang, Datuk Kamarul Baharin Abbas, berkata beliau mahu ingin "memajukan industri pelancongan" di Port Dickson.
Shahrudin pernah menjadi pengerusi tetap Umno cawangan Kota Lukut sehingga 2004.
Dihubungi hari ini, Ramli juga menafikan tindakan Shahrudin itu boleh mengeruhkan hubungan PAS dengan PKR dalam Pakatan.
"Itu sentimen, orang boleh buat tanggapan macam-macam. Tapi bagi PAS dan Pakatan, tidak ada masalah. Majlis Pimpinan Pakatan memutuskan PAS bertanding, DAP dan PKR tidak akan bertanding," katanya.
Ditanya sama ada beliau mengenali Shahrudin, Ramli berkata beliau tidak mengenalinya.
"Kalau dia ahli PKR, terserah kepada PKR untuk mengambil tindakan," katanya.
Bagaimanapun Setiausaha PKR cabang Teluk Kemang Rusli Abdullah hari ini menjelaskan Shahrudin bukan lagi ahli PKR.
Malah, tegas Rusli sewaktu dihubungi Malaysiakini hasrat Shahrudin untuk bertanding dalam pilihan raya kecil adalah atas kehendaknya sendiri dan tidak ada kaitan dengan PKR cabang itu.
Shahrudin bagaimanapun menafikan pernah meninggalkan parti tersebut.
Diminta mengulas strategi PAS untuk berdepan dengan 4,604 pemilih pos di DUN tersebut, Ramli berkata pihaknya menunggu hasil perbincangan pucuk pimpinan parti dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung undi pos.
"Pucuk pimpinan beberapa kali desak hapus undi pos, yang dilihat tidak begitu telus. Apa-apa keputusan, kita tunggu pucuk pimpinan," katanya, yang diura-urakan dicalonkan semula di Bagan Pinang.
Barisan pemimpin PAS termasuk naib presidennya Salahuddin Ayub dijangka bertemu SPR pada 28 September ini.
Ditanya mengenai peluang parti itu untuk memenangi kerusi tersebut, Ramli optimis ia boleh merampas kerusi tersebut, yang selama ini menjadi kubu kuat Umno.
Pandangannya itu berdasarkan momentum kepada Pakatan Rakyat yang memenangi tujuh daripada lapan pilihan raya kecil sebelum ini, tambahnya.
"Jadi gelombang (kemenangan) akan berlaku. Saya tengok daripada reaksi pengundi, suasana memang nampak PAS mempunyai peluang untuk menang.
"Pengundi berkehendak kepada perubahan. Tengok (dan bandingkan) pilihan raya umum tahun 1999, 2004 dan 2008, ada peningkatan majoriti," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan