HALAMAN SANTAI

Selasa, 15 September 2009

Fomca bantah projek sedut air Sime Darby di Batang Padang

BERNAMA


Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) hari ini meminta Sime Darby Berhad supaya mempertimbangkan semula projek pembangunan sumber air bawah tanah di daerah Batang Padang, Perak kerana ia membawa kesan negatif kepada alam sekitar.

Presidennya Datuk M Marimuthu berkata Fomca bimbang bahawa projek itu telah mendapatkan kelulusan Jabatan Alam Sekitar berdasarkan laporan Kajian Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) yang tidak khusus sama sekali.

"Kami mendapat peluang meneliti laporan itu dan mendapati kebanyakan dakwaan adalah berdasarkan andaian umum, tiada yang terperinci," katanya kepada Bernama di Petaling Jaya hari ini.

Misalnya, katanya, laporan EIA itu tidak menyebut jumlah simpanan air di kawasan itu bagi membolehkan projek itu mempunyai daya saing.

Di bawah projek tersebut, Sime Darby bercadang mengeluarkan kira-kira 500 juta liter padu air sehari untuk tujuan membekalkan keperluan air mentah ke Lembah Klang.

Marimuthu berkata dengan melaksanakan projek itu, Sime Darby, sebagai syarikat milik kerajaan (GLC), akan bekerja bertentangan dengan dasar kerajaan menghayati teknologi hijau.

Katanya, Fomca tidak yakin dengan penggunaan kaedah teknologi canggih oleh Sime Darby dalam projek tersebut yang tidak menjejaskan alam sekitar.

Marimuthu memperjelaskan bahawa tujuan utama bantahan Fomca terhadap prpjek itu adalah bagi memastikan alam sekitar tidak dirosakkan.

"Kami tidak mempunyai agenda tersembunyi di sebalik isu ini," tegasnya.

Fomca, katanya, akan mengumpul maklumat dan menyediakan laporan mengenai projek itu supaya diedarkan kepada semua ahli parlimen, senator, wakil rakyat, agensi kerajaan yang relevan dan kementerian bagi menekankan keseriusan masalah itu jika projek itu dilaksanakan.

Tiada ulasan: